Lelaki Maut DItembak Ketika Tunggu Anak Di Luar Sekolah

KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang sedang menunggu anak-anak pulang dari sekolah di perhentian bas berhampiran Sekolah Kebangsaan Sri Serdang, Seri Kembangan petang Khamis gempar apabila dikejutkan dengan kejadian tembak, mengakibatkan  seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, seorang daripada dua lelaki bermotor dikatakan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa berusia 40-an, mengakibatkan  mangsa terbunuh di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berhubung kejadian itu mengesahkan seorang lagi lelaki berusia 30-an yang berada berdekatan turut cedera dipercayai terkena tembakan di bahagian belakang badan.

Katanya, kedua-dua mangsa sedang menunggu anak keluar dari sekolah.

“Ketika kejadian ramai orang awam sedang menunggu anak keluar dari sekolah. Keadaan mangsa yang cedera stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Serdang,” katanya.

Fadzil berkata identiti mangsa yang maut sedang dikenal pasti dan ketika ini Unit Forensik sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Seorang saksi kejadian yang enggan namanya disiarkan berkata beliau sedang menunggu  anaknya dekat pintu pagar sekolah apabila kejadian itu berlaku.

“Semua ibu bapa lari bertempiaran (ketika kejadian), ia pengalaman ngeri buat kami hari ini,” katanya.

Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 33, berkata ketika kejadian dia sedang menunggu anak perempuannya keluar sekolah, kira-kira 10 meter dari perhentian bas berkenaan.

Katanya, dia kemudian terdengar bunyi tembakan yang disangkakannya bunyi mercun sebelum melihat ibu bapa yang berada di lokasi kejadian lari bertempiaran.

“Apabila keadaan reda, kami melihat seorang lelaki tertiarap dan terdapat darah di badannya,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad  berkata dia tidak melihat siapa yang melepaskan tembakan.

“Ada saksi lain mengatakan ada individu bermotosikal tembak mangsa dan melarikan diri,” katanya.

Seorang lagi saksi yang dikenali sebagai Din berkata dia hanya berada kurang lima meter dari lokasi ketika kejadian.

“Hari ini, perhentian bas sesak dengan ibu bapa yang menunggu anak selepas hujan reda, tiba-tiba ada bunyi beberapa letupan yang kuat di perhentian bas itu, saya ingat mercun,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati lokasi kejadian tembak itu hanya satu kilometer dari Balai Polis Serdang. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.