Keluar UMNO, Taktik Tun M Raih Simpati – MUBARAK

Kuala Lumpur – Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad keluar daripada Umno hanyalah taktik beliau untuk meraih simpati masyarakat.

 

Jelasnya tindakan itu langsung tidak mengejutkan umum dan dilihat sebagai agenda peribadi untuk menyingkirkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

 

“Ini satu lagi tragedi berulang yang membabitkan negarawan, pemimpin yang pernah diangkat oleh Umno. Saya sangat sedih kerana negarawan yang pernah disanjung Umno sanggup berbuat demikian untuk meraih simpati dan sokongan dalam usaha beliau menyingkirkan Presiden parti sedia ada.

 

“Ini sudah tentu akan memudaratkan Umno terutama dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya.

 

Memetik laporan Berita Harian hari ini, Abdul Aziz mempertikaikan tindakan Tun Mahathir yang dianggap sebagai tindakan tidak matang walaupun pada dasarnya beliau masih sayangkan Umno.

 

“Memang ini satu ugutan seperti yang beliau pernah buat pada 2008 untuk menyingkirkan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Sangat sedih kerana ia dilakukan orang yang matang dalam politik tanah air sedangkan beliau adalah negarawan yang disanjung ramai malah lebih peka dalam isu berkaitan parti.

 

“Jika sayang kepada parti, bukan tindakan sebegini dibuat, lebih-lebih lagi untuk kali kedua,” soal Abdul Aziz.

 

Mengulas lanjut, katanya tindakan itu sama sekali tidak akan memberi kesan kepada kedudukan Umno kerana masih mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

 

“Taktik Dr Mahathir kali ini saya rasa tidak mendapat simpati ramai kerana orang sudah jemu dengan apa yang beliau buat pada Umno dan Najib. Impaknya tidak sama dengan tindakan pertama beliau keluar Umno dulu,” katanya.

 

Jelasnya tindakan oleh Perdana Menteri keempat itu pastinya memberikan kesan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum (PRU) akan datang tetapi kesannya hanya minimum.

 

Namun ia tidak boleh dipandang remeh oleh jentera parti yang seharusnya memperkukuhkan usaha meingkatkan sokongan rakyat.

 

Atas dasar itu, Abdul Aziz menasihatkan parti itu agar membuat tinjauan terkini mengenai kedudukan dan sokongan pengundi terhadap parti itu yang kian dihimpit pelbagai isu melibatkan kepimpinan.

 

“Dalam parti, saya percaya Umno dalam kedudukan yang selesa kerana bahagian masih percaya dengan kepimpinan (Datuk Seri) Najib, namun kita tidak tahu dengan sokongan luar parti.

 

Tun Mahathir pada 29 Februari lalu mengumumkan beliau sekali lagi keluar daripada Umno kerana dilaporkan tidak puas hati dengan parti.

 

Bekas perdana menteri dan bekas presiden Umno itu sebelum ini keluar daripada parti berkenaan pada 19 Mei 2008 selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.