Stesen Minyak Tutup Awal Untuk Kaut Untung

KOTA BHARU – Ketika ste­sen minyak di negeri ini dipenuhi ribuan kenderaan yang ingin mengisi minyak selepas mengetahui harga bahan api itu akan dinaikkan berkuat kuasa tengah malam semalam, dua buah stesen minyak di sini bertindak menutup operasi lebih awal.

 

Tindakan dua buah stesen mi­nyak di Jalan Pengkalan Chepa dan di Melor di sini menutup operasi lebih awal adalah dipercayai bagi membolehkan mereka menjual diesel dan petrol dengan harga baharu sekali gus mengaut keuntungan dua kali ganda.

 

Bagaimanapun cubaan kedua-dua stesen minyak terbabit menga­ut keuntungan lebih berjaya dipatahkan apabila tindakan mereka itu dikesan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri yang menjalankan operasi malam tadi.

 

Pengarahnya, Datuk Abdul Gha­ni Harun berkata, seramai 85 pe­gawai Penguat Kuasa PPDNKK men­jalankan operasi sejak pukul 6 petang semalam selepas menerima aduan daripada orang awam me­ngenai tindakan segelintir pengusaha yang menutup stesen minyak lebih awal.

 

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan di 167 stesen minyak di seluruh negeri ini mendapati hanya dua buah daripadanya menutup operasi awal iaitu pada pukul 10.30 malam.

 

Ujarnya, kedua-kedua stesen mi­nyak terbabit masing-masing memberi alasan bahawa bekalan minyak terputus, selain pam rosak.

 

“Hasil pemeriksaan kita mendapati pam tidak rosak dan boleh berfungsi seperti biasa serta masih terdapat 19,000 liter minyak yang boleh dijual.

 

“Kes ini adalah pertama kali berlaku di negeri ini selepas kerajaan memperkenalkan sistem pengapung­an harga minyak sejak Januari lalu.

 

“Mereka (pengusaha) mengambil kesempatan menutup operasi lebih awal bagi membolehkan mi­nyak itu dijual dengan harga baharu selepas pukul 12.00 tengah malam tadi,” katanya kepada pemberi­ta ketika ditemui selepas operasi ber­kenaan, di sini malam tadi.

 

Tambah Abdul Ghani, tindakan tegas akan dikenakan kepada pe­ngusaha yang tidak bertanggungjawab itu.

 

Katanya, pada masa ini, kedua-kedua stesen minyak terbabit telah diarahkan memberhentikan operasi buat sementara waktu.

 

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau tiga tahun penjara,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.