Sistem Pentaksiran Baharu Bantu Tingkat Pencapaian STPM

KUALA LUMPUR  – Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan hari ini menyaksikan peningkatan pencapaian berbanding tahun lalu.

 

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin berkata, melalui sistem pentaksiran baharu STPM, pencapaian calon boleh terus meningkat dari segi pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK).

 

“Peningkatan pencapaian ini adalah kerana dalam sistem pentaksiran baharu STPM, calon diuji pencapaiannya mengikut perkara yang dipelajari pada penggal berkenaan sahaja. Calon juga boleh memperbaiki pencapaian melalui peperiksaan ulangan setiap penggal,” jelas Dr. Mohd. Nor.

 

Peperiksaan STPM 2014 merupakan sistem pentaksiran baharu STPM yang dikendalikan buat kali kedua oleh MPM.

 

Pengumuman yang dibuat di di ibu pejabat MPM, menyaksikan PNGK calon STPM 2014 meningkat kepada 2.62 dari 2.57 pada STPM 2013.

 

Dr. Mohd. Noh berkata, seramai 48,615 calon mendaftar STPM 2014 tetapi hanya 42,854 telah hadir menduduki peperiksaan tersebut.

 

“Peratusan pencapaian calon yang mendapat PNGK 4.00 meningkat sebanyak 0.91 peratus atau 390 calon berbanding 0.89 peratus atau 429 calon pada STPM 2013.

 

“Peratusan calon mendapat PNGK 3.50 ke atas juga meningkat kepada 0.09 peratus atau 3,895 calon. PNGK antara 2.00 hingga 3.49 meningkat kepada 73.85 peratus atay 31,647 calon,” kata Dr. Mohd. Noh.

 

STPM 2014 juga menyaksikan 10 calon yang mengambil lima mata pelajaran mendapat gred A dalam kesemua mata pelajaran tersebut.

 

Sementara 97.81 atau 41,915 calon telah mendapat lulus penuh dan hanya 0.13 peratus atau 57 orang calon gagal.

 

Secara keseluruhan kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2014 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu gred C ke atas.

 

Sepuluh mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi lulus penuh iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusateraan Melayu, Komunikatif, Geografi, Ekonomi, Further Mathematics, Information and Communications Technology dan Chemistry. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.