Saham 7-Eleven, The Star meningkat

Kuala Lumpur – Saham Star Publications meningkat di Bursa Malaysia dalam dagangan awal hari ini, selepas kumpulan itu mengumumkan dividen 7.2 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, minggu lalu.

 

Pada jam 9.52 pagi tadi, saham kaunter The Star meningkat tiga sen, kepada RM2.53, dengan 11,000 saham bertukar tangan.

 

Maybank Investment Bank mengunjurkan perolehan kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, menguncup 6.0 tahun ke tahun, hasil pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), pada April ini.

 

“Kami juga menjangkakan hampir RM20 juta setahun dapat dijimatkan daripada penyelesaian skim pemisahan sukarela (VSS), yang mengurangkan operasi di Sarawak, penamatan jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif dan pelupusan Red Tomato.

 

“Kami mengekalkan unjuran pendapatan 2015, dengan pengurangan keuntungan bersih teras sebanyak 9 peratus.

 

“Unjuran pendapatan sesaham bagi 2015 dan 2016 yang tidak berubah, masih melepasi had dividen 18 sen sesaham,” kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.

 

Sementara itu, saham syarikat rangkaian kedai serbaneka 24 jam, 7-Eleven meningkat, susulan pertumbuhan positif tahun kewangan 2014 yang berakhir 31 Disember.

 

Saham 7-Eleven Malaysia Holdings di Bursa Malaysia diniagakan tinggi dalam dagangan awal hari ini.

 

Pada jam 11.20 pagi, kaunter itu menokok empat sen kepada RM1.60, dengan 597,700 saham diniagakan.

 

Maybank Investment Bank dalam nota kajiannya berkata, ia menjangkakan pertumbuhan utama syarikat itu akan disokong pembukaan kedai baru, selain sumbangan lebih tinggi daripada kedai sedia ada yang diubah suai.

 

“Peningkatan lebih cepat perkhidmatan dalam kedai (hasil komisen) serta penambahbaikan gabungan produk untuk 7-Eleven terus menjadi pertumbuhan yang cergas,” kata Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan ‘simpan’ ke atas saham syarikat itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.