PetroSaudi Buat Laporan Polis Terhadap Dakwaan Laman Web

Kuala LUmpur – PetroSaudi Investments Limited telah membuat laporan polis berhubung dakwaan mengenai hubungan syarikat itu dengan syarikat pelaburan pembangunan strategik negara ini, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disiarkan sebuah laman web.

 

Laporan berkenaan difailkan di Unit Tindakan Penipuan Polis London, Pusat Laporan Jenayah Dan Penipuan Siber di bandaraya itu pada jam 3:45 petang waktu United Kingdom, 1 Mac (semalam).

 

Sumber yang rapat dengan syarikat Arab Saudi itu memaklumkan The Rakyat Post bahawa laporan polis yang difailkan itu berkaitan beberapa siri artikel yang diterbitkan oleh laman web Sarawak Report, termasuk satu yang bertajuk “Heist of the Century — How Jho Low Used PetroSaudi As ‘A Front’ To Siphon Billions Out Of 1MDB!” (Rompakan Abad ini – Bagaimana Jho Low Digunakan PetroSaudi Sebagai ‘Perantara’ Untuk menyedut Berbilion Daripada 1MDB!).

 

Laman web berkenaan mendakwa ia telah memperolehi akses kepada dokumen dan e-mel mengenai transaksi yang dilakukan oleh 1MDB, termasuk yang membabitkan usaha awal syarikat milik penuh kerajaan Malaysia itu menjalin kerjasama dengan PetroSaudi sejak 2009.

 

Laporan laman web itu turut mendakwa keseluruhan projek usaha sama antara 1MDB dengan PetroSaudi itu diilhamkan, diurus dan diterajui oleh ahli perniagaan Jho Low.

 

Terdahulu, dalam satu kenyataan awal yang dikeluarkan pada Ahad, PetroSaudi “menyatakan secara mutlak” bahawa semua dana dari 1MDB telah disalurkan kepada entiti berkenaan sambil menegaskan bahawa apa-apa kesimpulan selain dari itu adalah palsu.

 

Syarikat Arab Saudi itu menjelaskan bahawa segala bayaran yang patut dibuat kepada 1MDB tellah dilunaskan sepenuhnya dan kedua-dua pihak kini tidak lagi mempunyai sebarang obligasi kewangan mahupun undang-undang dalam perkara itu.

 

Ia juga sedang mendapatkan nasihat perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani tuduhan yang berniat jahat dan fitnah itu, kata PetroSaudi dalam kenyataan yang dikeluarkan sebelum laporan polis difailkan.

 

Manakala di Kuala Lumpur, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda dalam satu kenyataan semalam berkata pihaknya turut memandang serius tuduhan yang disiarkan laman web tersebut, lantas memberi penjelasan mengenai urusan antara kedua-dua syarikat.

 

Kata Arul, kesemua butiran dan fakta berkaitan urus niaga 1MDB boleh dirujuk kepada akaun syarikat itu yang telah diaudit dan boleh didapati di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

“1MDB telah keluar dari kerjasama itu sejak 2012 dan menerima kembali pelaburan penuh dengan keuntungan sebanyak US$488 juta.

 

“Fakta-fakta ini, dan semua butiran yang berkaitan dengan urus niaga ini, boleh disahkan dengan merujuk kepada akaun kami yang telah diaudit yang boleh didapati secara terbuka di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” kata Arul dalam kenyataan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.