Pelajar Dapat Cuit Sakit Kerana ‘Chicken Chop’

Kuala Lunpur – Gambar sekeping sijil cuti sakit (MC) yang dikeluarkan sebuah klinik kepada seorang pelajar perempuan sebuah sekolah di Sungai Buloh kini dijadikan ‘bahan jenaka’ yang mula disebarkan dengan meluas di media sosial, terutama aplikasi Whatsapp.

 

MC itu dikeluarkan sebuah klinik swasta bagi mengesahkan seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh menghidap demam campak dan perlu mengambil cuti sakit selama lima hari, sehingga Jumaat.

 

Bagaimanapun pada MC yang ditandatangani seorang doktor di klinik berkenaan dicatatkan perkataan ‘chicken chop’ (sejenis makanan barat) dan bukan ‘chicken pox’ (demam campak atau cacar air) seperti yang sepatutnya.

 

Kesilapan pada MC tersebut menjadi gurauan dan bualan hangat di media sosial, malah, gambar surat MC tersebut turut disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

 

Memetik laporan Rakyat Post, kakitangan klinik berkenaan ketika dihubungi mengesahkan sijil MC berkenaan adalah tulen, namun mengakui kesilapan catatan jenis penyakit itu.

 

Beliau turut memohon maaf sambil menjelaskan bahawa kesilapan catatan pada MC berkenaan ditulis oleh kakitangan klinik itu dan bukan oleh doktor yang menandatanganinya.

 

“Ia adalah kesilapan yang tidak dijangka di pihak kami dan bagi pihak klinik kami ingin memohon berbanyak maaf atas kesilapan itu.

 

“Doktor juga telah mengakui kesilapan itu dan kami akan bergerak dari sini,”ujar jurucakap itu yang enggan namamya disiarkan.

 

Tanpa memaklumkan sama ada klinik itu mengeluarkan semula MC yang baru kepada pelajar berkenaan sebagai ganti, beliau hanya berkata sejak imej MC itu disebarkan, klinik tempatnya bekerja hampir tidak henti-henti dihujani panggilan telefon dari orang ramai yang bertanya tentangnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.