Muhyiddin Adakan Pertemuan Dengan Presiden SEAMEO Di Putrajaya

Putrajaya – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) Prof Dr Pham Vu Luan di sini.

 

Turut hadir dalam pertemuan sejam bersama Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan Malaysia itu ialah Pengarah Sekretariat SEAMEO Dr Witaya Jeradechakul. Antara lain, mereka membincangkan program dan aktiviti SEAMEO semasa dan terdahulu.

 

Vu Luan yang juga Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam berada di Malaysia selama empat hari mulai semalam.

 

Kunjungan Vu Luan ke Malaysia merupakan lawatan kerja yang lazim dilakukan oleh Presiden SEAMEO ke semua negara anggota pertubuhan itu.

 

Ia bertujuan memperkukuh hubungan negara-negara anggota dengan pertubuhan itu selain memantau pelaksanaan keputusan Majlis SEAMEO yang berhubung kait dengan program dan aktiviti tahunan masing-masing.

 

Kunjungan Vu Luan ke Malaysia dapat meningkatkan imej negara dalam kalangan negara-negara anggota SEAMEO dan dunia amnya selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan di rantau ini.

 

Malaysia mengganggotai SEAMEO sejak ia mula ditubuhkan pada 1965 yang bermatlamat untuk menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.