Minum Air Kelapa Muda Elak Strok Haba

Butterworth – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Hilmi Yahya menyarankan orang ramai mengurangkan kegiatan luar pada musim kemarau bagi mengelak risiko serangan strok haba.

 

Katanya, dalam keadaan cuaca kering orang ramai perlu minum air kosong dengan kadar secukupnya bagi mengimbangkan kehilangan cecair dalam tubuh seterusnya mencegah dehidrasi yang boleh memberi kesan sampingan terhadap kesihatan.

 

“Dalam keadaan ini air kelapa muda juga sangat bagus diminum kerana ia bersifat istonik dan mempunyai elektrolit cecair yang sama dengan cecair yang sedia ada dalam badan kita,” katanya.

 

Berhubung dengan penularan kes demam denggi, Dr Helmi berkata, ia menunjukkan peningkatan dengan sebanyak 23,630 kes direkod di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga 28 Feb lepas berbanding 16,053 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

 

Beliau menjelaskan, bagi tempoh itu juga jumlah kematian meningkat kepada 62 orang daripada 29 orang bagi tempoh sama tahun lepas dengan Selangor berada pada kedudukan teratas dengan 34 kematian.

 

Selangor mencatatkan kes demam denggi tertinggi sebanyak 13,866 kes diikuti Perak, Johor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya manakala Pulau Pinang di tempat kelima, katanya, lapor Bernama.

 

Beliau berkata usaha menangani wabak itu akan terus diperhebatkan termasuk menggempur tapak-tapak pembinaan di seluruh negara yang menjadi kawasan lazim pembiakan nyamuk Aedes yang merupakan pembawa kuman denggi.

 

“Selain kompaun, tindakan tegas akan diambil termasuk mengheret mereka yang mengabaikan aspek kebersihan untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.