Mangsa Banjir Desak Kerajaan Negeri Sedia Tapak Rumah

GUA MUSANG – Kerajaan Kelantan diminta mempercepatkan menyediakan tapak rumah bagi penempatan baharu mangsa banjir yang kini terpaksa tinggal di khemah di Bandar Utama.

 

Mereka bimbang jika perkara itu tidak diselesaikan segera kemungkinan lebih banyak masalah dihadapinya terutama bagi masa depan keluarga dan pelajaran anak-anak.

 

Sebelum ini pihak terbabit hanya menjanjikan tempoh tinggal di khemah itu selama tiga bulan sahaja, tetapi sekarang sudah memasuki bulan ketiga namun belum ada ura-ura penempatan baharu akan dibuka.

 

Menurut seorang mangsa banjir, Muhamad Latif Hassan, 45, pihak terbabit kini memberi pelbagai alasan untuk membuka penempatan baharu itu dan lebih banyak mempersalahkan kerajaan negeri.

 

Oleh itu, katanya, kerajaan negeri hendaklah mengambil langkah segera meluluskan kawasan penempatan baharu supaya mangsa banjir dapat tinggal di rumah yang lebih selesa.

 

Katanya, masih ramai mangsa banjir terus tinggal di rumah mereka walaupun keadaan rumah yang tidak berdinding kerana tidak sanggup tinggal di khemah sepanjang masa.

 

“Bagaimanapun, rumah yang rosak membabitkan kawasan setinggan sekitar bandar ini dilarang Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) untuk membaik pulih semula.

 

“Kebanyakan rumah yang musnah atau rosak dilanda banjir besar akhir Disember lalu itu disita dan akan mengambil tindakan tegas jika ada mereka yang mengambil kesempatan membaikinya,” katanya.

 

Seorang penduduk setinggan yang rumahnya turut rosak, Harun Abdullah, 56, pula berkata, kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan pembinaan rumah di kawasan penempatan baharu.

 

Katanya, ini kerana khemah yang disediakan itu juga bukan boleh bertahan lama kerana ada yang sudah luntur dan rosak.

 

“Kalau semakin lambat diwujudkan penempatan baharu kemungkinan khemah berkenaan akan rosak sepenuhnya yang memerlukan pemasangan baharu.

 

“Malah, kebanyakan mangsa banjir tidak berkemampuan untuk membina rumah sendiri jika kerajaan hanya menyediakan tapak bagi tujuan itu,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.