Maklumat Gangguan Air Palsu Tersebar Di Media Sosial

Kuala Lumpur – Penyebaran maklumat berkenaan gangguan bekalan air yang didakwa akan berlaku di seluruh Selangor selama 36 jam bermula hari ini adalah palsu.

 

Pegawai Khidmat Pelanggan Pusat Khidmat Pelanggan (Puspel), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Noranida Mukhti berkata, maklumat berkenaan telah tersebar sejak beberapa hari lalu.

 

“Kami di Puspel telah menerima aduan daripada orang ramai untuk bertanyakan mengenai sebaran di laman sosial ini sejak seminggu lalu dan semakin kerap sejak semalam.

 

“Setakat hari ini pihak pengurusan Syabas memaklumkan tiada sebarang catuan atau terputus bekalan air seperti yang disebarkan selama 36 jam itu.

 

“Ini adalah WhatsApp palsu yang disebarkan dalam kalangan pengguna telefon bimbit yang tidak bertanggungjawab,” ujar kepada The Rakyat Post.

 

Malahan dakwaan kononnya sebuah stesen radio telah membuat pengumuman mengenai perkara tersebut juga dinafikan oleh Puspel.

 

Maklumat yang tersebar itu menyebut: “Minta perhatian kepada semua. Sila tadah air secukupnya (malam ini) kerana esok bekalan air akan ditutup selama 36 jam seluruh Selangor. Sudah diumumkan di radio Sinar tadi.”

 

“Kami di Puspel telah memaklumkan perkara ini kepada Syabas dan pihak pengurusan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai catuan atau putus bekalan air di Selangor,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.