Maidam Bantu Lupus Al-Quran Rosak Dari Kelantan

Kuala Terengganu – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) hari ini menerima 20,000 kilogram al-Quran yang rosak akibat banjir dari Kelantan untuk dilupuskan dengan kaedah pembakaran mengikut syarak.

 

Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Mohd Rozali Saleh berkata, pihaknya sedia membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) untuk melupuskan 20,000 kilogram al-Quran itu berdasarkan kemampuan relau ketika ini yang boleh membakar 200 kilogram al-Quran setiap hari.

 

“Ini adalah kerjasama erat antara kedua belah pihak, malah Maidam juga turun padang ke Kuala Krai, Kelantan pada Januari lalu untuk membantu mangsa banjir di sana dengan mengagihkan telekung dan kain pelikat serta membersihkan masjid dan surau.

 

“Insya-Allah kerja pembakaran ini akan dilakukan dengan teratur yang dijangka mengambil masa 100 hari untuk dilupuskan dengan sempurna,” katanya kepada pemberita selepas menerima rombongan dari Jaheaik bersama empat buah lori yang memuatkan 20,000 kilogram al-Quran yang rosak itu di sini hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Jaheaik Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, pihaknya menerima 100,000 kilogram al-Quran yang rosak dari seluruh Kelantan akibat ditenggelami banjir Disember tahun lalu.

 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 15,000 kilogram telah dihantar ke Johor manakala 10,000 kilogram lagi telah dihantar ke Selangor untuk dilupuskan dan kita berterima kasih dengan kesudian Terengganu untuk membantu melupuskan 20,000 kilogram, kali ini.

 

“Baki (al-quran rosak) yang masih ada di Kelantan pula sedang diuruskan iaitu diasingkan dan dikeringkan sebelum proses pelupusan seterusnya dilakukan,” katanya.

 

Jaheaik juga telah menggantikan al-Quran yang rosak untuk semua masjid dan surau yang terjejas banjir hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pejabat agama negeri-negeri serta hasil sumbangan orang ramai, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.