Mahfuz Bawa Kasut Dan Ibu Pembunuh Altantuya Ke Australia

Sepang – Misi khas ke Australia yang dianjurkan PAS malam ini, bagi menemukan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Sirul Azhar Umar dengan ibu dan adik perempuannya, merupakan satu misi kemanusiaan, kata Datuk Mahfuz Omar.

 

Ketua penerangan PAS itu berkata ia bertujuan membantu seorang ibu yang hendak melindungi anaknya,

 

“Ibunya teringin sangat nak bertemu dengan Sirul dan kami mengharapkan pemergian kami ini tidak dilihat sebagai sesuatu yang boleh memberikan ancaman pada mana-mana pihak.

 

“Tetapi, apa yang dirancang ini ialah sebagai satu misi kemanusiaan, untuk seorang ibu yang melindungi anaknya,” kata Mahfuz kepada media sebelum berangkat ke Australia melalui penerbangan jam 11 malam ini.

 

Katanya, mereka semua akan berada di Sydney sehingga 6 Mac ini dan antara barang yang dibawa, sepasang kasut sukan bersaiz lapan yang dibuat atas permintaan Sirul Azhar sendiri.

 

Beliau turut menunjukkan kasut biru jenama New balance itu kepada pihak media.

 

Ibu Sirul Azhar Umar, Piah Samad berlepas ke Australia dengan harapan untuk bertemu dengan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang kini ditahan di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney.

 

Piah, 73, yang berkerusi roda ditemani anak perempuannya Noriatin Umar, 36, serta lima individu lain termasuk Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berlepas dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 11 malam pada Ahad.

 

Bagaimanapun, Piah dan Noriatin memilih untuk berdiam diri sebaliknya maklumat mengenai perjalanan ke Sydney itu dinyatakan oleh Mahfuz.

 

Menurut Mahfuz lagi, beliau sudah memaklumkan kepada kedutaan Australia agar memberikan jaminan keselamatan kepada mereka ketika berada di sana.

 

“Saya juga mengharapkan tidak ada apa-apa gangguan yang menghalang untuk kami keluar daripada Malaysia pada malam ini,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa, Sepang.

 

Ditanya sama ada Sirul akan mendedahkan motif pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu kepada rombongan mereka itu, Mahfuz berkata beliau tidak pasti tetapi ia bukan matlamat misi tersebut.

 

“Terpulang kepada dia sama ada mahu memberitahu (motif pembunuhan) ataupun tidak. Itu bukan misi saya.

 

“Itu akan lahir daripada hatinya sendiri, dan dia sudah berjanji kepada anda semua baru-baru ini yang dia akan umumkannya bila sampai masanya nanti,” kata ahli Parlimen Pokok Sena itu.

 

Difahamkan yang mereka tidak akan dibenarkan membawa masuk kamera mahupun telefon, dan tiada telesidang atau sidang video yang akan diadakannya bersama media ketika di Australia nanti.

 

“Jadi, dari luar pusat itu, kami akan dapat bergambar dengannya,” katanya yang dijadualkan pulang ke Malaysia pada 7 Mac jam 7 pagi.

 

Mahfuz berkata, ‘tagline’ misi tersebut ialah ‘C4 Yourself’ (Anda lihat sendiri).

 

Namun, apabila pemberita membangkitkan persoalan kerana ia seperti bertentangan dengan kenyataan awalnya yang mengatakan ia satu misi kemanusiaan, beliau lantas menjawab: “Itu saya bergurau sahaja.”

 

Sirul kini berada di pusat tahanan di Sydney itu, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.

 

Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri didakwa membunuh Altantuya pada 2006 dan disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.

 

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar dengan membebaskan mereka daripada tuduhan berkenaan.

 

Bagaimanapun, pada 13 Jan lepas, Mahkamah Persekutuan bersama panel 5 hakim mengetepikan keputusan membebaskan Sirul Azhar dan Azilah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

 

Bagaimanapun, Sirul Azhar tidak hadir ke mahkamah bagi mendengar keputusan kes itu kerana berada di Australia.

 

Susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

 

Pada 16 Januari lepas, media tempatan memetik laporan akhbar Sydney Morning Herald berkenaan kerajaan Australia yang tidak akan memenuhi permohonan Malaysia untuk mendapatkan perintah ekstradisi Sirul Azhar.

 

Ini berikutan ia melibatkan hukuman mati dan Australia merupakan antara negara yang tidak memperuntukkan hukuman itu dalam undang-undangnya.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur Mohamad Salleh dilaporkan berkata, menurut rekod imigresen, Sirul ke Australia pada Oktober 2014.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.