Lumpuh Setelah Jatuh Dalam Tali Air

KAMPUNG MACHANG – Tatkala insan seusianya mungkin sudah mengenali abjad dan berpeluang mendapat pendidikan awal di tadika, namun berlainan suratan takdir buat Nik Muhamad Faizol Izwan Nik Abdullah, 5, yang hanya mampu terbaring kaku sejak dua tahun lalu.

 

Malah, anak  bongsu daripada dua beradik bagi pasangan  Nik Abdullah Mahmood, 38 dan  Asmah Pik, 29, ini bukan sahaja memerlukan pengawasan 24 jam tetapi juga perlu diberikan susu khas setiap empat jam melalui wayar yang dimasukkan melalui perutnya.

 

Menurut ibunya, dia tidak menyangka begitu episod perjalanan kehidupan anaknya dan implikasi dihadapi setelah permata hatinya itu terjatuh dalam tali air dalam satu kejadian Kampung Alur Belanga, Jertih ketika berusia tiga tahun.

 

“Ibu mana yang tidak tersentuh melihat anak dilahirkan normal menjadi begini. Namun, saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya anak saya ini masih diberi peluang oleh-NYA untuk bernafas walaupun ketika ditemui dalam tali air seluruh tubuhnya telah kebiruan.

 

“Walaupun anak saya ini sekadar terbaring, namun dia perlu diberi pengawasan setiap masa kerana perlu sedut air liur serta kahaknya menggunakan mesin khas,” katanya.

 

Kata Asmah, sekiranya tidak berbuat demikian ia akan mengganggu pernafasan yang akhirnya boleh memberi kesan terhadap nyawa anaknya itu.

 

Terpaksa dukung setiap hari

 

“Ketika suami keluar bekerja, saya dibantu ibu, Lijah Yaacob,, tambahan pula saya sekeluarga tinggal bersama di rumahnya,” katanya.

 

Ketabahan ibu ini diuji lagi apabila setiap hari dia terpaksa mendukung Nik Muhamad Faizol Izwan untuk ke tandas dan bilik mandi yang terletak di luar rumah.

 

Asmah khuatir sedikit masa lagi, dia tidak mampu untuk berbuat demikian memandangkan anaknya itu kian membesar.

 

“Memikirkan jangka masa panjang kerana dia kian membesar dan pastinya selepas ini saya tidak larat mendukungnya, satu bilik telah dijadikan sebagai tempat memandikannya.

 

“Saya perlu baringkan atas lantai dan letak kepala atas riba,” katanya.

 

Namun, ibu dua anak ini bersyukur kerana beban kewangan yang ditanggung keluarganya sedikit ringan dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan.

 

Selain itu, Asmah turut menerima bekalan susu dan lampin pakai buang daripada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu yang dihantar setiap tiga bulan.

 

“Harga satu tin susu khas ini mencecah RM100 dan sebulan diperlukan sekurang-kurangnya 10 tin kerana anak saya perlu diberikan susu setiap empat jam.

 

“Kos perbelanjaan bagi susu dan lampin pakai buang sahaja sudah lebih RM1,000 sebulan dan jika kami tidak dapat bantuan tentunya tidak mampu untuk menyediakan keperluan Nik Muhamad Faizol Izwan,” katanya.

 

Asmah hanyalah seorang suri rumah dan mengharapkan sepenuhnya pada suami yang  hanya melakukan kerja kampung sahaja.

 

Dengan keadaan anak yang sedemikian Asmah ternyata tidak mampu untuk mencari pekerjaan lain.

 

“Sekiranya boleh, saya ingin mendapatkan satu kerusi roda khas untuk anak saya ini. Sekurang-kurangnya dia boleh berbaring atas kerusi yang lebih sesuai serta selesa terutamanya pada siang hari.

 

“Buat masa ini saya hanya meletakkannya atas kerusi baring biasa sahaja,” ujarnya.

 

Lihat bayang anak dalam air

 

Mengimbau peristiwa yang menimpa anaknya itu, Asmah berkata kejadian tersebut berlaku sehari sebelum Ramadan tahun 2013 setelah anaknya ditemui lemas dalam tali air terletak kira-kira lima meter dari rumah ibu mertuanya.

 

“Sekitar jam 3.30 petang hari itu, saya perasan anak saya tiada dalam rumah lalu memanggilnya namun tidak berjawab.

 

“Melihat pintu utama depan rumah terbuka sedikit, terlintas di hati mungkin anak saya telah keluar rumah,” katanya.

 

Kata Asmah, dua dan ahli keluarga yang lain cuba mencarinya di sekitar rumah namun tidak berhasil sehinggalah sepupu suami, Alias datang ke rumah dan turut membantu mencari.

 

Kira-kira 20 minit kemudian Alias ternampak bayangan tubuh di dalam tali air.

 

“Tanpa melengahkan masa, dia terus terjun ke dalam tali air dan mendapatkan anak saya yang ketika itu bukan sahaja sudah tidak sedarkan diri serta lembik tetapi seluruh tubuhnya juga telah kebiruan.

 

“Hanya ALLAH SWT sahaja mengetahui perasaan saya ketika itu,” katanya.

 

Tambah Asmah, anaknya kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut sebelum dipindahkan ke HSNZ, Kuala Terengganu dan mendapatkan rawatan di sana hampir dua bulan termasuk dua minggu berada di ICU.

 

Ujarnya lagi, sejak kejadian itu anaknya membesar tidak lagi seperti kanak-kanak lain kerana hanya mampu terbaring kaku.

 

Kejadian malang itu telah  memberi kesan terhadap sistem dalaman tubuh termasuk kekurangan oksigen dalam otak. – Sinar

One thought on “Lumpuh Setelah Jatuh Dalam Tali Air

  • May 5, 2015 at 8:45 am
    Permalink

    Macamana nak bantu anak ini. Tolong hubungi saya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.