Kerajaan Selangor Boleh Naikkan Cukai Tapi Perlu Berpada-Pada

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor didesak menurunkan cukai tapak niaga serta beberapa cukai lain antaranya perniagaan dan pintu yang didakwa naik mendadak sejak kebelakangan ini bagi membantu keberkesanan kempen penurunan harga barang.

 

Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kenaikan cukai berkenaan secara langsung memberi implikasi terhadap harga barang dan kerajaan PR yang sering melaungkan keutamaan kepada kebajikan rakyat dicabar untuk menurunkan kadar cukai sekiranya benar-benar prihatin.

 

“Berdasarkan kajian, kita mengambil contoh cukai yang dikenakan terhadap peniaga di pasar tani yang dahulunya hanya RM240 setahun iaitu RM20 sebulan kini telah naik hingga hampir RM70 sebulan. Keadaan inilah yang membuat peniaga tertekan, tiada pilihan dan terpaksa menjual dengan harga mahal yang akhirnya membebankan pembeli atau pengguna.

 

“Persekutuan telah banyak membuat kempen penurunan harga tetapi hal sebeginilah yang menyukarkan ia berjaya. Kerajaan negeri boleh naikkan cukai tetapi berpada-padalah dan tidak terlalu mendadak dalam masa singkat,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Penurunan Harga 2015 di Pasaraya Econsave, Seksyen 36, di sini, semalam.

 

Noh dalam pada itu menegaskan, kenaikan harga barang tiada kaitan terus dengan kenaikan harga minyak yang berlaku sekarang malah ia melibat faktor lain antaranya cuaca, penawaran dan permintaan serta kos pengeluaran.

 

Beliau menyifatkan kenaikan kali ini kepada RM1.95 masih tidak tinggi berbanding paras harga sebelum Disember lalu iaitu RM2.30 seliter dari RON95.

 

“Hari ini, minyak naik 25 sen menjadikan harga terkini RM1.95. Harga ini masih rendah lagi kalau kita hendak bandingkan dengan harga sebelum penurunan,” katanya.

 

Bercakap kempen penurunan harga, beliau berkata, kempen tersebut merupakan acara serentak dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di mana peringkat nasional dirasmikan Menterinya, Datuk Seri Hassan Malek di Pasaraya The Store, Kuantan Parade.

 

Katanya, kempen ini melibatkan lebih 1,000 pasar raya di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak yang menawarkan diskaun hingga 70 peratus kepada lebih 82,000 produk bagi tempoh hingga empat bulan.

 

“Antara barangan yang ditawarkan termasuk ayam, beras, susu, sardin, milo, makanan sejuk beku , peralatan elektrik, lampin susu, susu bayi, pakaian sukan, barangan penjagaan diri dan lain-lain,” katanya.

 

Tambahnya, pelancaran kempen ini bertujuan membantu meringankan beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana selain itu sebagai langkah membantu mempromosi premis perniagaan yang menawarkan harga yang berpatutan,” katanya – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.