Kerajaan Sedia Bantu BernamaTV Jika Isu Pemilikan Diselesaikan

GEORGE TOWN – Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk membantu stesen televisyen BernamaTV sekiranya pemegang saham syarikat berkenaan sedia untuk memberikan saham mereka kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) secara keseluruhannya.

 

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya perlu mengikut undang-undang sebelum mengambil sebarang tindakan.

 

“Kerajaan tidak boleh dilihat hanya membayar dengan mengeluarkan duit rakyat kepada mana-mana syarikat swasta apabila syarikat swasta itu gagal di dalam urusan perniagaannya. Dalam soal ini BernamaTV bukan milik kerajaan, BernamaTV adalah sebuah stesen swasta.

 

“Kecuali soal isu pemilikan diselesaikan barulah kerajaan dilihat munasabah untuk memberi bantuan bagi menyelesaikan soal kewangan stesen berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Penghakupayaan Usahawan Wanita Merentasi Dunia Baharu, di sini hari ini.

 

Ditanya sama ada pemegang saham bersedia untuk melepaskan saham mereka, Ahmad Shabery berkata perkara itu masih berada dalam proses rundingan.

 

BernamaTV ditubuhkan pada 2008 bagi menguruskan siaran berita 24 jam di saluran Astro 502.

 

BernamaTV menghadapi masalah ekoran hasil pendapatan syarikat yang tidak dapat menampung kos operasinya termasuk pembayaran upah dan gaji.

 

Pada 9 Feb lepas, BernamaTV tidak dapat beroperasi seperti biasa berikutan sebahagian petugasnya tidak hadir bertugas ekoran kegagalan syarikat pengendali membayar gaji bagi bulan Januari.

 

Pada 12 Feb, Ahmad Shabery mengadakan pertemuan dengan 100 pekerja BernamaTV untuk membincangkan masalah dan juga masa depan stesen televisyen itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.