Arul Kanda Jawab Isu Kaitan 1MDB Dengan PetroSaudi

Kuala Lumpur – 1Malaysia Development Bhd (1MDB) menyatakan kebimbangan berhubung dakwaan yang disiarkan oleh sebuah portal media mengenai pengaturan perniagaan syarikat itu dengan PetroSaudi.

 

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda berkata kesemua butiran fakta berkaitan urus niaga ini boleh dirujuk kepada akaun yang telah diaudit yang boleh didapati di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

“1MDB telah keluar dari kerjasama itu sejak 2012 dan menerima kembali pelaburan penuh dengan keuntungan sebanyak US$488 juta.

 

“Fakta-fakta ini, dan semua butiran yang berkaitan dengan urus niaga ini, boleh disahkan dengan merujuk kepada akaun yang telah diaudit kami, yang boleh didapati secara umum di laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, PetroSaudi International dalam kenyataannya telah menjelaskan yang semua dana daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pergi kepada entiti milik Petrosaudi dan sebarang andaian lain adalah palsu.

 

Syarikat itu berkata demikian sebagai respon kepada laporan media tertentu yang didakwanya membuat tuduhan berniat jahat dan berbahaya, berhubung perkongsiannya dengan 1MDB.

 

“Selepas 1MDB keluar, PetroSaudi telah membayar 1MDB dengan penuh dan kedua-dua pihak tidak lagi mempunyai sebarang hubungan kewangan atau perundangan,” kata kenyataan itu.

 

PetroSaudi juga berkata ia sedang mendapatkan nasihat guaman untuk tindakan sewajarnya bagi menangani tuduhan berniat jahat dan fitnah terbabit, tetapi ia tidak menjelaskan laporan media manakah yang dirujukkannya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.