PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan bahawa mereka yang telah meninggalkan parti, sama ada seketika atau selamanya, tidak perlu kembali, kerana beliau kini memberi tumpuan kepada memperkukuh perpaduan dalam Umno.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno semakin mengecil disebabkan perpecahan dalaman, yang menyebabkan parti itu hanya menang 26 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.
“Matlamat saya adalah untuk menyatukan semula ahli parti. Mereka yang telah pergi, tidak perlu kembali.
Mereka yang ‘keluar sekejap’ boleh terus kekal di luar,” katanya dalam podcast Buletin TV3 hari ini.
Beliau juga menekankan bahawa sesiapa yang masih bersama parti harus setia sepenuhnya dan mendahulukan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Mereka yang telah tinggalkan parti silakan terus (berada di luar)… yang keluar sekejap, keluar selama-lamanya pun tak apa. Jika ada gunting dalam lipatan, ada kaduk naik junjung saya fikir orang ini tidak diperlukan.
Walaupun tidak menyebut nama, kenyataan ini dipercayai ditujukan kepada Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, dua bekas pemimpin Umno yang melancarkan podcast “Keluar Sekejap” pada 2023 untuk membincangkan isu politik dan sosial.
Khairy, bekas Menteri Kesihatan, dipecat daripada Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15, manakala Shahril digantung enam tahun pada Ogos 2022.
Sebelum ini, Zahid pernah menyatakan bahawa Khairy boleh kembali ke Umno jika membuktikan kesetiaannya. Namun, Khairy membalas bahawa beliau hanya akan kembali jika Umno berubah menjadi parti yang lebih baik.
Zahid turut menyatakan bahawa Umno tidak memerlukan ramai ahli, tetapi hanya yang benar-benar setia dan komited terhadap perjuangan parti.
“Biarlah sedikit ahli Umno tetapi mereka adalah yang taat setia kepada parti, jumlah yang banyak kita tidak mahu jadi buih di lautan. Biar sedikit,” katanya.