Jangan Lumpuhkan Bersatu, PN Berdepan PRN, Muhyiddin Mohon Pembekuan Dibatalkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu akan menulis surat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini supaya perintah pembekuan akaun Bersatu dapat dibatalkan.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Bersatu memerlukan dana untuk membiayai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi 6 buah negeri yang akan berlangsung tidak lama lagi.

“Janganlah pembekuan akaun Bersatu ini menjadi motif sebenar pihak kerajaan untuk melumpuhkan jentera Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang.

“Saya percaya SPRM akan menjalankan siasatan secara telus dan profesional dan saya beri jaminan Bersatu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan,” katanya ketika sidang media selepas pemukiman PN di Kuala Lumpur pada Khamis.

Pengerusi PN itu turut menyatakan, apabila akaun Bersatu dibekukan ia sangat merencatkan urusan pentadbiran parti.

“Bila dah beku akaun, kami sebagai pertubuhan politik yang penting dan besar ini tak ada duit untuk bayar gaji pentadbiran bukan sahaja untuk sebulan.

“Sekarang ini mereka kata beku 3 bulan, pun susah. Itu membawa kesan kepada kelicinan pentadbiran parti dan juga peranan kita sebagai parti yang penting dalam negara.

“Jadi sebab itu kita minta seboleh mungkin selepas disemak dan didapati tiada sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa, maka SPRM harus segerakan buat keputusan untuk keputusan itu dapat dibatalkan.

“Ini adalah penting supaya pentadbiran bersatu dapat berjalan secara lancar termasuk pembayaran gaji pekerja dan lain-lain komitmen kewangan bersatu dapat dilunaskan mengikut jadual,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu juga mengulangi penegasan bahawa Bersatu tidak menerima sebarang wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi bernilai RM92.5 bilion seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Jelas beliau lagi, pada masa ini SPRM telah pun memperolehi penyata kewangan dan sebenarnya dokumen-dokumen berkenaan kewangan Bersatu yang berkaitan.

“… dan saya percaya siasatan SPRM yang dijalankan secara profesional akan membersihkan nama Bersatu.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa dasar yang telah pun ditetapkan oleh Bersatu ialah setiap sumbangan kepada parti mesti dimasukkan ke dalam akaun parti, tidak ada sumbangan dana politik dimasukkan ke dalam akaun peribadi saya ataupun pegawai-pegawai dalam parti saya ataupun mana-mana organisasi yang mempunyai kepentingan di mana saya mempunyai kepentingan.

“Saya tahu SPRM telah pergi untuk membuat siasatan kepada badan-badan seperti itu termasuklah Bersatu bahagian Pagoh. Saya ingin menegaskan ini juga telah disemak oleh pihak SPRM,” kata beliau lagi.

Justeru Muhyiddin percaya siasatan atas penyata akaun Bersatu akan mendapati tidak ada wang berbilion ringgit dalam akaun parti.

“Malahan kita telah menyerahkan beberapa akaun yang telah diaudit dan dibentang dalam perhimpunan agung parti kita iaitu akaun 2020 sudah audit dan penyataan oleh auditor tidak ada perkara luar biasa. Tahun 2021 juga akaun telah tutup telah diaudit. Juga kenyataan yang tegas dan jelas menyatakan tidak ada apa-apa luar biasa.

“Akaun 2022 akan dibentang dalam perhimpunan agung bulan Mac depan dan harapan kita juruaudit kita dapat buat kerja untuk selesaikan perkara itu dengan adanya kerjasama oleh pihak SPRM kerana mereka ambil dokumen, macam mana nak buat auditan.

“Maknanya itu semua teratur mengikut kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan prosedur yang berkaitan dengan auditan akaun-akaun pertubuhan seperti mana yang ada dalam Bersatu,” kata Muhyiddin lagi.

Tambah beliau, jumlah wang yang masuk ke dalam parti dan jumlah baki wang dalam akaun Bersatu sebelum dibekukan semuanya ada dalam pengetahuan SPRM.

“Saya yakin bahawa rekod keluar masuk wang dalam akaun Bersatu adalah teratur dan daripada sumber yang sah dari segi undang undang,” tegas beliau. -Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat