Melahir masyarakat sejahtera

- Advertisement -
Datuk Mohd Ajib Ismail

Peredaran zaman bergerak seiring dengan perubahan kehidupan masyarakat yang semakin mencabar. Bagi umat Islam, kita berhadapan dengan isu pemikiran dan fahaman songsang, kebejatan akhlak, kesempitan hidup dan pelbagai lagi. Semua isu ini berlaku pada setiap zaman dan perlu ditangani secara bijaksana oleh semua pihak. Sebuah masyarakat yang sejahtera hanya dapat dicapai melalui penghayatan terhadap sifat rabbani yang dibangunkan dalam diri setiap insan.

Sa’id Hawwa menjelaskan ciri-ciri terpenting yang perlu ada pada diri insan rabbani itu adalah penguasaan pengetahuan Islam, pengukuhan tarbiah dengan penekanan akhlak dan penyuburan rohani serta pembangunan dakwah. Dengan memiliki ciri-ciri itu, insan yang rabbani akan mampu mengharungi badai kehidupan yang melanda. Beliau juga mendedahkan ciri-ciri asas bagi melahirkan golongan rabbani adalah dengan memiliki keilmuan yang tinggi, beramal dengannya serta menyampaikan ilmu itu kepada orang lain.

Perkara ini selaras firman Allah SWT di dalam al-Quran surah ali-Imran ayat 79 yang bermaksud: “Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama dan hikmat serta pangkat nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: ‘Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembah-Ku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah.’ Tetapi (sepatutnya ia berkata): ‘Hendaklah kamu menjadi orang rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna) kerana kamu sentiasa mengajarkan isi kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.'”

Misi melahirkan masyarakat rabbani ini bertepatan dasar pentadbiran Islam semasa melalui Manhaj Rabbani yang berpaksikan tiga ciri utama iaitu Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme) seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini.

Keutamaan dalam membangunkan masyarakat yang berilmu pengetahuan dapat dilihat melalui penegasan hadis Nabi Muhammad SAW tentang kelebihan orang yang berilmu bermaksud: “Barangsiapa berjalan untuk menuntut ilmu, maka Allah SWT akan membimbingnya ke jalan syurga. Sesungguhnya orang yang berilmu itu dimohon keampunan oleh makhluk di langit dan di bumi, termasuk ikan di laut dan sesungguhnya ulama itu adalah pewaris nabi.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi). Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Zakiyah Daradjat memberikan pandangan bahawa: “Pendidikan berlangsung seumur hidup dan dilaksanakan di dalam lingkungan rumah tangga, sekolah dan masyarakat. Kerana itu pendidikan adalah tanggungjawab bersama antara keluarga, masyarakat dan kerajaan.” Oleh itu pelbagai usaha dilaksanakan di dalam menyediakan kemudahan untuk masyarakat mendapatkan ilmu pengetahuan. Perkara berkenaan dilakukan dengan hasrat membina modal insan yang mempunyai nilai moral yang tinggi. Sifat mengutamakan ilmu dan pendidikan perlu dibudayakan di dalam masyarakat melalui pelbagai kemudahan yang ada.

Penguasaan ilmu akan melahirkan manusia yang bertindak dengan rasional, benar dalam tindakan dan tidak melakukan perbuatan yang menyimpang daripada kehendak syariat seterusnya dapat menyumbang kepada kebaikan seluruh warga dan negara.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran surah az-Zumar ayat 9 bermaksud: “(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? “Katakanlah lagi (kepadanya): ‘Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna.'”

Selain itu, masyarakat yang rabbani juga adalah yang berakhlak, berperibadi mulia, mempunyai ketinggian moral dan sivik serta bertamadun. Golongan itu juga menghayati nilai murni, mengamalkan sifat terpuji, menjauhi sifat terkeji serta mengamalkan prinsip kesusilaan selaras dengan prinsip Rukun Negara. Hasilnya lahirlah masyarakat yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian serta jauh daripada sebarang unsur perpecahan dan persengketaan. Seseorang yang berakhlak dengan akhlak terpuji penuh dengan sifat mulia seperti lemah lembut dan rahmah terhadap sesama manusia, gemar membantu, tenang dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, menghormati sesama insan dan tidak memiliki sifat hati yang tercela seperti sombong, meninggi diri dan seumpamanya.

Melalui keluhuran akhlak, nilai-nilai murni seperti persefahaman, ketaatan kepada pemimpin, keprihatinan serta penerimaan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat disemai. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Maidah ayat 8 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Masyarakat rabbani perlu menggerakkan misi dakwah serta kegiatan sosial dan kesukarelawanan. Golongan ini saling membantu dan menasihati dalam perkara kebaikan dan kebenaran serta berusaha meringankan bebanan dan kesusahan insan lain. Firman Allah SWT di dalam surah ali- Imran ayat 110 bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”

Kegiatan dakwah dan aktivisme dilakukan bertujuan ke arah perubahan sosial masyarakat secara menyeluruh merangkumi individu, keluarga dan masyarakat.

Gerakan ini juga dapat membentuk sifat peduli terhadap keperluan dan kesukaran yang dialami orang lain. Allah SWT memerintahkan hambanya untuk saling menolong sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa menunjukkan solidariti yang tinggi melalui kegiatan aktivisme dan kesukarelawanan terutama dalam mengharungi tempoh getir negara berhadapan bencana banjir dan wabak Covid-19 yang melanda. Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga melalui misi Musaadah Covid-19 dan Inisiatif Wilayah Cakna berterusan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada masyarakat yang terkesan.

Wilayah Persekutuan, Wilayah Prihatin yang menjadi tema sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini juga bertujuan menyuburkan sifat keprihatinan dengan mengutamakan kebajikan rakyat merangkumi aspek ekonomi, pendidikan, sosial, kerohanian dan kelangsungan hidup sekali gus melahirkan masyarakat sejahtera yang diimpikan.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat