Malaysia perlukan “Jeneral Perang” baru lawan Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendesak kerajaan melantik seorang “jeneral perang” baru untuk mengetuai dan merangka pendekatan baru memerangi penularan wabak Covid-19.

“Apa yang kita perlukan adalah “jeneral” baharu, bukan untuk menggantikan peranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noorhisham Abdullah tetapi yang akan mengambil alih tugas untuk memimpin usaha kolektif merentas kementerian.

“Jeneral baharu ini mesti dapat memberikan tumpuan khusus kepada usaha memerangi Covid-19 dan menyelaraskan tindak balas antara semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kesejahteraan, dan ekonomi.

“Sudah tiba waktunya kita tidak hanya menganggap apa yang sedang berlaku ini sebagai krisis kesihatan, tetapi sebagai masalah nasional.

“Setiap kementerian tidak lagi boleh bekerja secara berasingan. Kita memerlukan Czar baharu dan pendekatan baru bagi memerangi pandemik Covid-19,” syor Khaled dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Tanpa mengecilkan peranan Dr Noorhisham, Khaled berkata, pujian harus diberikan pada tempat yang sepatutnya. Ketua Pengarah Kesihatan telah berusaha tanpa lelah untuk mengelakkan Malaysia daripada tenggelam dalam kancah pandemik.

Meskipun begitu ujarnya, mutakhir ini situasi telah berkembang sehingga menjadi isu besar merentas pelbagai bidang di luar kuasa beliau.

“Walaupun Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan telah melaksanakan tugas dengan luar biasa dan harus dipuji, beliau tidak harus terikat dengan isu pandemik Covid-19 sahaja. Institut dan industri kesihatan jauh lebih besar daripada wabak ini. Masalah kesihatan lain juga memerlukan perhatian yang setimpal.

“Jelasnya, pandemik ini telah melampaui batas krisis kesihatan, sebaliknya telah menjadi krisis nasional berskala penuh. Jeneral baharu dengan idea dan strategi baharu amat diperlukan untuk memimpin pasukan merentas kementerian, pelbagai jabatan, dan pelbagai agensi untuk segera bertindak balas terhadap sifat pandemik yang cepat berubah,” kata beliau.

Khaled menambah, institut kesihatan dan perubatan kita nyaris kehilangan kapasiti mengatasi pandemik ini. Pelbagai hospital telah dikhaskan untuk menempatkan pesakit Covid-19 dan keupayaan negara hampir mencecah hadnya. Barisan hadapan kita penat dan letih akibat bekerja terlalu lama ‘overworked’ sekali pun tidak mendapat imbuhan setimpal ‘undercompensated’.

“ Kita bakal mempertaruhkan keruntuhan institusi perubatan jika kita meneruskan perjuangan ini menggunakan pendekatan status quo tanpa sebarang rancangan yang lebih berkesan dan berkelangsungan.

“Ketahanan kita juga sedang diuji. Pemulihan ekonomi kita telah terencat, sistem pendidikan kita telah gagal, dan institusi kebajikan tidak dapat melindungi semua rakyat yang terdedah. Kita perlu mempertimbangkan reformasi institusi dan struktur yang drastik.

“ Sememangnya, Kerajaan cuba melakukan yang terbaik, tetapi tanpa ‘Chief in Command’ yang berkelayakan untuk menyatu dan menyelaraskan usaha pelbagai pihak, semua ikhtiar tidak akan dapat menghasilkan perubahan yang berimpak besar dan lestari,” jelasnya.

Khaled berkata lagi, walaupun keadaan kini secara keseluruhannya amat suram, sesekali kita ada menerima saat-saat kegembiraan yang penuh dengan harapan.

“Kita telah melihat sekumpulan individu dan komuniti prihatin yang menawarkan bantuan kepada masyarakat yang lebih terdedah demi meringankan penderitaan mereka. Ikhtiar ini mengingatkan kita bahawa rakyat Malaysia memang bersatu, prihatin dan saling menyayangi antara satu sama lain.

“Namun, kita harus berhati-hati untuk tidak meluaskan kebergantungan pada usaha amal sukarela dan sebaliknya, mula membuat rancangan teliti untuk mengatasi akar permasalahan.

“Walaupun kerja amal untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik amat menabur inspirasi, tetapi kebergantungan masyarakat terhadap bantuan masyarakat sivil dan bukannya kerajaan adalah sesuatu yang membimbangkan,” ujarnya.

Kata Khaled, sudah setahun sejak pandemik Covid-19 meletus dan menghancurkan kehidupan berjuta-juta orang serta meninggalkan negara-negara dunia dalam keadaan berantakan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat