Harga Tiket Kereta Api Kabel Bukit Bendera Dinaikkan Bermula April Ini

GEORGETOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) akan menaikkan harga tiket untuk perkhidmatan kereta api kabel atau funikular Bukit Bendera bermula 1 April ini.

Pengurus Besarnya, Cheok Lay Leng berkata, tiket laluan normal untuk dewasa, kanak-kanak dan warga emas bagi laluan sehala naik RM1 iaitu daripada RM5 kepada RM6.

“Harga tiket baharu itu adalah bagi pemegang Mykad, Mykid, warga asing yang mempunyai permit bekerja di atas Bukit Bendera dan pasangan kepada warga Malaysia, manakala harga bagi pas bulanan (RM40) pelancong asing (RM15 bagi sehala) serta promosi ‘sunrise/sunset’ (RM3.50 sehala) tidak berubah.

“Tiket promosi sunrise/sunset hanya boleh digunakan bermula pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi dan 7.30 malam hingga 9.45 malam, manakala untuk orang kelainan upaya (OKU) adalah percuma,” katanya memetik laporan Facebook rasmi Penangkini di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. Menurutnya, harga baharu itu dilaksanakan berikutan peningkatan kos operasi dan kos penyelenggaraan sistem funikular serta peningkatan kemudahan infrastruktur awam dan kemudahan di kawasan puncak Bukit Bendera.

“Peningkatan kos itu juga disebabkan nilai ringgit yang lemah dan inflasi.

“Kali terakhir perubahan harga tiket laluan normal ini dilaksanakan pada 2015 iaitu tambang untuk seorang dewasa bagi pemegang Mykad dinaikkan dari RM4 kepada RM5,” katanya.

Cheok berkata, pihaknya menjalankan kerja penyelenggaraan utama sebanyak dua kali setiap tahun bagi memastikan operasi, kebolehpercayaan kejuruteraan dan tahap keselamatan sistem penggera sentiasa berada dalam keadaan baik.

Katanya, kebanyakan alat gantian sistem funikular diimport dari luar negara terutama Eropah.

“Bukit Bendera menerima kira-kira dua juta pengunjung dan penduduk tempatan setiap tahun menggunakan sistem perkhidmatan funikular, laluan jip dan melalui laluan mendaki,” katanya.

Beliau berkata, PBBPP juga akan terus komited untuk memelihara dan menjaga warisan semula jadi serta sejarah Bukit Bendera supaya ia dapat terus dikekalkan untuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.