Kelantan Buru Mata Jumpa Melaka United

Kelantan tidak mahu pulang tangan kosong apabila bertemu Melaka United pada aksi pembuka tirai Liga Super di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Penjaga gawang The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat atau Apex berkata, pasukannya perlu meraih sekurang-kurangnya satu mata sebagai suntikan semangat untuk mengharungi musim mencabar ini.

“Biasanya perlawanan pertama ini amat penting dalam menentukan hala tuju pasukan dan kita perlu mendapatkan satu atau tiga mata apabila berdepan Melaka United nanti.

“Kalau dapat mata penuh itu dikira bonus tetapi jika memperoleh satu mata itu juga dikira amat bagus kerana kita bermain di gelanggang lawan,” katanya kepada Sinar Harian.

Penjaga gol berpengalaman itu bagaimanapun mengakui tiada jalan mudah buat Kelantan memandangkan skuad kendalian Eduardo Almeida turut bersemangat untuk melakar kemenangan di hadapan penyokong mereka.

“Saya rasa penampilan Melaka United berbeza jika dibandingkan musim lalu. Jadi, pertemuan ini pasti menjanjikan saingan sengit bagi kedua-dua pasukan.

“Walaupun kita pernah menang 3-1 di tempat mereka pada aksi terakhir musim lalu namun situasi sudah berubah sekarang. Tak semestinya dahulu kita menang dan Sabtu ini kita boleh menang sekali lagi,” katanya.

Pada masa sama, pemain berusia 29 tahun itu turut mengingatkan rakan sepasukannya agar lebih fokus dan bermain mengikut taktikal jurulatih, Sathit Bensoh pada pertemuan sulung itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.