Usah Buat Tanggapan Melulu, Biarkan SPRM Buat Siasatan – PM

PEKAN – Semua pihak diminta tidak membuat tafsiran melulu berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kesanggupan Annuar untuk disiasat oleh SPRM berhubung isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan penajaan pasukan bola sepak Kelantan menunjukkan beliau mahu peluang untuk membersihkan namanya.

 

Sehubungan itu, kata Najib, biarlah proses siasatan tersebut berjalan tanpa membuat sebarang tanggapan selagi belum selesai.

 

“Bagi dirinya, beliau mahu peluang untuk membersihkan nama daripada sebarang tanggapan dan sebagainya.

 

“Biarlah proses ini berjalan dan tidaklah kita membuat apa-apa tanggapan atau tafsiran sehingga proses siasatan ini selesai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Paloh Hinai di sini semalam.

 

Annuar dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi memberi laluan kepada proses siasatan termasuk dalam isu penajaan PMB serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

 

Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan Ahli Majlis Mara, Datuk Dr. Yusof Yacob di ibu pejabat agensi tersebut di Kuala Lumpur semalam.

 

Dalam pada itu, Najib berkata, kedudukan Annuar dalam UMNO tidak berubah meskipun Pengerusi Mara berkenaan dinasihatkan bercuti oleh agensi berkenaan sementara menunggu siasatan diselesaikan.

 

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, pada masa ini, Ahli Parlimen Ketereh itu masih memegang jawatan Ketua Pe­nerangan UMNO.

 

“Kedudukan beliau dalam UMNO tidak berubah,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.