Terus Kenal Pasti, Cungkil Bakat Baharu Badminton – Najib

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kementerian Belia dan Sukan serta akademi badminton swasta atau kerajaan diminta mengambil langkah proaktif untuk terus berusaha mengenal pasti dan mencungkil
bakat baharu badminton negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Perdana menteri berkata sesuai dengan status badminton sebagai sukan kegemaran semua, kerajaan sentiasa memberi sokongan kuat untuk membangunkannya ke tahap lebih tinggi.

 

“Namun, kita akui terdapat kekurangan dalam beberapa aspek seperti penyediaan atlet pelapis dalam kategori perseorangan lelaki untuk menggantikan jaguh badminton sedia ada seperti Datuk Lee Chong Wei apabila beliau memutuskan untuk bersara,” katanya dalam catatan di laman blog www.najibrazak.com.

 

Beliau menegaskan masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan sukan badminton Malaysia terus cemerlang di masa hadapan, dan usaha ke arah itu perlu bermula dari sekarang.

 

“Akademi Badminton Malaysia adalah permulaan dan pemangkin kepada usaha ini agar kita mampu melahirkan lebih ramai jaguh badminton negara, insya-Allah,” kata perdana menteri.

 

Perdana menteri menarik perhatian bahawa akademi itu diwujudkan bagi memacu lagi perkembangan sukan badminton dan melahirkan pemain pelapis berprestasi tinggi.

 

Beliau yakin kompleks yang dilengkapi fasiliti bertaraf dunia itu dapat menyuntik semangat pemain untuk berusaha lebih kuat bagi menempa kejayaan.

 

“Sekiranya ada kekurangan dan keperluan lain yang diperlukan pemain, bincang dan kemukakan kepada pihak pengurusan BAM. Insya-Allah, di mana mampu dan boleh, kerajaan akan membantu,” kata perdana menteri.

 

Beliau seterusnya berkata Malaysia telah melahirkan jaguh badminton sejak zaman awal kemerdekaan sehingga hari ini yang membolehkan negara menempa kejayaan dalam pelbagai acara badminton berprestij di peringkat antarabangsa.

 

“Baru-baru ini kita semua bersama sebagai 1Malaysia bersorak gempita menyokong wira-wira badminton negara seperti Datuk Lee Chong Wei, pasangan beregu kita Tan Wee Kiong-Goh V. Shem serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan ramai lagi, ketika mereka beraksi di temasya Sukan Olimpik di Rio,” katanya.

 

Ia menyaksikan skuad badminton negara menyumbang tiga pingat perak melalui acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.