Proses Penamaan Calon PRK Tanjong Datu Bermula Jam 9 Pagi Sabtu Ini

KUCHING – Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu akan dibuka 9 pagi, Sabtu ini, di Dewan Masyarakat Lundu, kira-kira 80 kilometer(km), dari sini.

 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah berkata, proses penamaan calon akan berlangsung selama sejam sehingga 10 pagi.

 

Selepas sahaja urusan proses penamaan calon selesai, pegawai pengurus pilihan raya akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding, katanya.

 

“Tempoh rasmi kempen pilihan raya hanya bermula selepas pegawai pengurus pilihan raya mengisytiharkannya Sabtu ini dan kempen akan berakhir pada pukul 12 tengah malam 17 Feb,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Mengikut peraturan SPR, jika hanya seorang sahaja calon yang layak maka pengawai pengurus pilihan raya akan mengumumkan calon tersebut menang tanpa bertanding.

 

PKR DUN Tanjong Datu akan diadakan 18 Feb ini berikutan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas, di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, dekat sini.

 
Pengundian awal ditetapkan 12 Feb ini.

 

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 Mei, tahun lepas, Adenan, 72, mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi. Jazolkipli hanya meraih 468 undi.

 

Adenan adalah penyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006.

 

Pada Rabu lepas, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menamakan balu Allahyarham, Adenan, Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi tersebut.

 

Dalam pada itu, Mohd. Hashim turut mengingkatkan penyokong calon supaya tidak berkumpul dalam jumlah yang ramai di pusat penamaam calon pada hari berkenaan.

 

Katanya, calon boleh membayar deposit pilihan raya sebanyak RM5,000 melalui bank draf atau tunai dan seseorang calon boleh menggunakan simbol parti jika mendapat kebenaran bertulis daripada pegawai yang bertanggungjawab membenarkan penggunaan simbol sesuatu parti berkenaan.

 

DUN Tanjong Datu mempunyai 9,959 pemilih berdaftar iaitu 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.