Pemikiran Mahathir dan DAP Sama, Kata Pemimpin PAS

KOTA BHARU – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan DAP mungkin boleh menjadi ‘sekutu’ yang baik kerana didakwa berkongsi pemikiran yang sama apabila melibatkan isu-isu berkaitan agama Islam.

 

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu tidak rugi jika Dr. Mahathir sudah nekad mahu menolak untuk bekerjasama dengan Pas sebagaimana dilaporkan dan memilih untuk bersama DAP.

 

“Saya nampak pemikiran Dr. Mahathir dan DAP sama apabila menyentuh isu agama Islam. Sebab itu dia lebih senang bersama DAP berbanding bersama Pas. Sikap mereka terhadap agama Islam lebih kurang.

 

“Kalau dia tidak boleh sokong usaha Pas, lebih baik dia duduk dengan DAP daripada duduk de­ngan kita. Syarat kita tetap sama, sesiapa yang nak bersama kita, tidak boleh menghalang cita-cita Pas untuk menegakkan Islam di negara ini.

 

“Dulu kita bersama DAP kerana dasar setuju untuk tidak bersetuju. Sekarang dia halang kita tegakkan Islam pula,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan Pas Kelantan di sini semalam.

 

Baru-baru ini, Dr. Mahathir dilaporkan berkata, tempoh untuk berbincang dengan Pas sudah berakhir, sekali gus memberi bayangan seolah-olah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudah tidak berminat bekerjasama de­ngan parti itu.

 

Mohd. Amar dalam pada itu turut mempertahankan tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang melabel DAP anti-Islam kerana sikap parti tersebut sememangnya menjurus ke arah itu berdasarkan dua insiden besar yang pernah berlaku.

 

“Kali pertama, isu Malaysia sebagai negara Islam, dia bertindak keluar Barisan Alternatif dan kali ini, kerana isu hudud, dia kata pakatan pembangkang sudah berakhir termasuk putuskan hubu­ngan dengan Presiden kita.

 

“Dua-dua insiden ada kaitan dengan agama Islam, ini sudah cukup menjadi bukti DAP memang anti-Islam,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob pula senada dengan Mohd. Amar apabila berkata, Dr. Mahathir sememangnya menolak Pas dan perjuangannya sehingga sering bertelagah dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

 

“Dia dari dahulu lagi menolak Pas. Bukan hari ini sahaja. Masa Allahyarham Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ada, mereka selalu bertelagah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.