Myanmar Beri Jaminan Bantuan Diserah Kepada Rohingya – KP1M

PETALING JAYA – Kerajaan Myanmar memberi jaminan bahawa bantuan yang dibawa menerusi misi “Flotila Makanan untuk Myanmar” akan disampaikan kepada etnik Rohingya di negara itu.

 

Ketua misi berkenaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata pihaknya akan menyerahkan 300 tan makanan serta barang keperluan apabila tiba di pelabuhan Yangon, Myanmar.

 

Beliau berkata selain makanan, 10,000 kotak “hygiene kit” mengandungi barangan keperluan kebersihan peribadi akan turut diserahkan.

 

Sejurus kapal yang membawa bantuan itu tiba di Yangon, barangan tersebut akan diserah kepada Menteri Kebajikan Masyarakat, Bantuan dan Penempatan Semula Myanmar Dr Win Myat Aye.

 

“Kami mahu makanan dan sumbangan lain yang dibawa diterima oleh mereka (etnik Rohingya), sekarang kami dalam persiapan peringkat akhir untuk belayar,” katanya selepas sesi taklimat berhubung misi itu di sini pada Rabu.

 

Abdul Azeez berharap misi itu berjalan lancar dan bantuan dapat diserahkan kepada masyarakat Rohingya yang dilaporkan ditindas sehingga mendapat perhatian masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

 

Misi membawa bantuan kemanusiaan kepada kelompok terjejas di wilayah Rakhine itu dijadual belayar dari Pelabuhan Klang pada Jumaat.

 

Misi itu yang menggunakan kapal “Nautical Aliya”, akan disertai kira-kira 200 aktivis dari lapan negara membawa 2,000 tan bantuan termasuk makanan dan ubat.

 

Misi itu ialah anjuran Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dan MAPIM dengan kerjasama Yayasan Turkiye Diyanet Vakfi (TDV) dari Turki. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.