Jamilah Mampu Sambung Legasi – Anak Adenan Satem



KUCHING – Abdul Aziz Adenan menyifatkan pemilihan ibunya, Puan Sri Jamilah Anu sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu merupakan satu penghargaan besar terhadap Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dalam usaha membangunkan kawasan yang disandang bapanya sejak 2006.

 

Ahli perniagaan berusia 45 tahun tersebut turut menyifatkan pemilihan bondanya itu sebagai keputusan tepat dalam menyambung legasi kepimpinan Allahyarham ayahandanya.

 

Katanya, meskipun namanya antara calon yang disebut-sebut bakal mengibar cabaran BN pada pilihan raya kecil itu, namun beliau sedikit pun tidak kecewa apabila tidak terpilih.

 

“Saya sangat gembira apabila nama bonda saya dipilih oleh barisan kepimpinan tertinggi BN sebagai calon BN PRK Tanjong Datu.

 

“Tidak kisah siapa antara kamu yang dipilih, tapi yang pasti kami adalah penyambung legasi ‘daddy’ (Adenan) dalam memastikan rakyat di DUN Tanjong Datu menikmati pembangunan yang setara dengan kawasan lain,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

 

Abdul Aziz menambah, beliau juga akan memberi sepenuhnya sokongan kepada ibunya itu bagi memastikan BN dapat mempertahankan kerusi DUN Tanjong Datu untuk BN secara keseluruhannya.

 

Kerusi DUN Tanjong Datu kosong berikutan kematian Adenan akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak pada 11 Januari lalu.

 

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK Tanjong Datu akan diadakan 18 Februari ini.

 

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu pula pada 4 Februari ini, manakala pengundian awal pada 12 Februari.-Kosmo



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.