Tidak minat
 ‘miliki’ Kelantan

KUALA LUMPUR – Selepas melakukan transformasi dalam bola sepak Kelantan, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman menerima banyak cadangan daripada peminat agar menubuhkan pasukan sendiri atau setidak-tidaknya memiliki pegangan lebih besar dalam skuad The Red Warriors.

 

Namun, jutawan kosmetik yang lebih dikenali sebagai Dr. Vida itu menegaskan, beliau belum terfikir untuk memainkan peranan lebih besar dalam bola sepak, biarpun mengakui mempunyai banyak perancangan untuk dilaksanakan bersama Kelantan.

 

Menaik taraf Stadium Sultan Muhammad IV, mengeluarkan jersi sendiri yang dikenali sebagai DSV (Datuk Seri Vida), membina gimnasium bertaraf antarabangsa buat pasukan serta terbaharu, bakal mewujudkan saluran televisyen Kelantan antara pembaharuan yang dibawa wanita berusia 44 tahun itu.

 

“Saya akui, minat yang mendalam terhadap bola sepak, selain kepakaran dalam melakukan pemasaran (perniagaan) membuatkan saya sering tampil dengan pelbagai idea baharu, tetapi minat saya belum sampai sehingga tahap mahu memiliki pasukan sendiri.

 

“Saya lebih suka menjalankan kerja di belakang tabir, apatah lagi setakat ini saya tiada masalah bekerjasama dengan Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan). Biarkan mereka yang mahir dalam bidang mereka menguruskan pasukan,” kata kepada Utusan Malaysia.

 

Dr. Vida yang juga Penasihat Kehormat Kafa berkata, beliau lebih selesa menjadi tulang belakang kepada pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) daripada memilikinya.

 

“Kafa perlu menerajui dan saya membantu baru boleh menjadi lebih kukuh sebab mereka berpengalaman dalam hal ini (bola sepak), manakala saya lebih ke arah pemasaran dan menjana sumber pendapatan kerana itu kepakaran saya.

 

“Saya akan menggunakan pengalaman sewaktu mula-mula membina empayar perniagaan dalam Kafa.

 

“Saya hanya memberi sokongan dan saya boleh jadi tulang belakang itu sudah memadai kerana saya memang nak membantu tapi mereka (Kafa) perlu memberi sokongan kepada produk saya.

 

“Tidak mengapa (memiliki pasukan sendiri atau kuasa lebih besar) kerana saya semakin serasi bekerjasama dengan Kafa dan walaupun ada percanggahan pendapat itu perkara biasa,” katanya lagi.-utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.