Polis Kedah Pantau Provokasi Krisis Politik Kedah

ALOR SETAR – Polis Kedah akan memantau segala maklumat berkaitan krisis politik yang melanda negeri ketika ini, khususnya yang disebarkan melalui laman sosial dengan mengandungi unsur provokasi.

 

Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya, berkata untuk itu pihaknya bekerjasama rapat dengan Unit Siasatan Khas Siber di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, bagi memantau tindakan itu, termasuk mengenal pasti individu yang terbabit dalam penyebaran maklumat sedemikian.

 

“Setakat ini kita belum terima apa-apa laporan berhubung kegiatan itu dan saya boleh katakan bahawa keadaan ketika ini masih terkawal.

 

“Apa pun saya menyeru orang ramai supaya tidak sekali-kali melakukan sebarang provokasi sehingga berisiko menimbulkan kemarahan pihak lain, terutama mengenai spekulasi berhubung status Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

 

“Dalam masa sama kita minta mereka yang melayari laman sosial dan membaca laporan berkaitan provokasi politik di negeri ini, tidak terlalu emosional sehingga melakukan tindakan terburu-buru kerana apa yang berlaku ketika ini adalah proses biasa dalam politik,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis pemakaian pangkat kepada 13 pegawai daripada Inspektor kepada Asisten Superintendan di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

 

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Nashir Ya.

 

Terdahulu, Zamri menyampaikan Bantuan Nafkah dan Persekolahan Dari Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) 2015 kepada 10 penerima termasuk balu dan waris anggota polis yang terkorban ketika menjalankan tugas.

 

Bantuan berjumlah RM42,859.16 itu diberi kepada 10 penerima dengan masing-masing menerima antara RM608 hingga RM6,792 seorang bergantung kepada kes. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.