Pembangkang Kedah Sokong Mukhriz Kekal Sebagai MB

ALOR SETAR – Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dilaporkan telah sebulat suara menyatakan sokongan bagi mengekalkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

 

Menurut Adun PAS Alir Mengkudu, Ustaz Ahmad Yahya berkata mereka mengutuk sekeras-kerasnya tindakan untuk mengulingkan Mukhriz itu.

 

“Semua Adun Pembangkang Kedah mengambil sikap bersama, membantah sekeras-kerasnya tindakan sebahagian pemimpin BN negeri ini yang cuba menurunkan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dari kedudukannya selaku Menteri Besar melalui cara yang tidak bertatasusila,” katanya ketika membacakan pendirian tersebut sejurus selepas mereka mengadakan perjumpaan bersama anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah sebentar tadi.

 

Menurut Ahmad lagi proses menurunkan MB Kedah hanya boleh dilakukan melalui proses demokrasi.

 

“Jika Dato’ Seri Mukhriz dinaikkan melalui laluan demokrasi maka proses menurunkannya juga mestilah mengikut amalan demokrasi, tidak gopoh, berperaturan serta menghormati kehendak rakyat,” katanya lagi.

 

Pendirian yang disuarakan pembangkang itu memungkinkan episod percakaran politik ‘Langkah Kajang’ di Selangor yang berlaku sepanjang tahun 2014 berulang kembali yang menyaksikan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bergelut dengan usaha PKR untuk menggulingkannya atas alasan tidak patuh arahan parti supaya meletakkan jawatan untuk digantikan dengan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

 

Kemelut politik di Kedah menarik perhatian umum sejak lebih seminggu  lalu selepas sebahagian besar pemimpin UMNO negeri itu mengisytiharkan telah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.