Najib bukan individu disiasat Pejabat Peguam Negara Switzerland

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukan antara individu yang disyaki terbabit dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak AS$4 bilion (RM16.6 bilion), kata Pejabat Peguam Negara Switzerland.

 

Jurucakap Pejabat Peguam Negara Switzerland, Andre Marty, memberitahu Nikkei Asian Review, ‘individu tidak dikenali’ yang disiasat bersama dua bekas pegawai 1MDB itu tidak merujuk kepada Najib.

 

“Dalam prosiding jenayah yang dijalankan oleh Pejabat Peguam Negara (Switzerland), Najib bukan seorang daripada individu yang disyaki,” katanya.

 

Kenyataan Marty itu dibuat selepas Pejabat Peguam Negara Switzerland mengeluarkan kenyataan mengenai dua bekas pegawai 1MDB dan seorang ‘individu tidak dikenali’ terbabit dalam penyelewengan dana 1MDB.

 

Mengulas lanjut, Marty berkata, istilah ‘individu tidak dikenali’ dalam undang-undang Switzerland yang dinyatakan sebelum ini merujuk kepada prosiding siasatan yang sedang berjalan, namun pelakunya tidak dikenal pasti.

 

Selain Switzerland, pihak berkuasa Singapura turut menjalankan siasatan sama selepas republik itu membekukan akaun bank bagi membolehkan siasatan penggubahan wang haram berkaitan 1MDB dijalankan.

 

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan malam tadi, berkata syarikat pelaburan terbabit belum dihubungi mana-mana pihak berkuasa asing berhubung dakwaan terbaru itu.

 

“1MDB sentiasa komited bekerjasama penuh dengan mana-mana pihak berkuasa sah dan siasatan tertakluk kepada nasihat daripada pihak berkuasa tempatan yang sah serta sejajar dengan protokol antarabangsa yang mengawal selia perkara seumpama itu,” katanya.

 

Jabatan Peguam Negara dalam sidang media minggu lalu berpuas hati bahawa tiada kesalahan jenayah dilakukan oleh Perdana Menteri berkaitan tiga kertas siasatan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dilaporkan berkata beliau sudah mengarahkan ketiga-tiga kertas siasatan berkenaan ditutup atau NFA/KUS, bermakna tiada tindakan lanjut (NFA)/kemas untuk simpan (KUS).

 

Kertas siasatan itu termasuk satu membabitkan dana RM2.6 bilion (jumlah sebenar adalah RM2.08 bilion) dan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International (SRC) yang sudah dikemukakan kembali kepada Apandi oleh SPRM.

 

Malah, Mohamed Apandi berkata beliau sedia bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang termasuk di luar negara menerusi saluran sewajarnya berhubung dakwaan jenayah terhadap 1MDB, walaupun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur tindakan Pejabat Peguam Negara Switzerland membuat kenyataan terbuka berhubung perkara itu.

 

Beliau turut mengesahkan Perdana Menteri sudah mengembalikan AS$620 juta (RM2.03 bilion) daripada dana AS$681 juta (RM2.08 bilion) yang diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi pada Ogos 2013.

 

Perdana Menteri sebelum ini menegaskan beliau tidak pernah mengambil duit rakyat untuk kegunaan peribadi.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.