Mesyuarat Exco Kedah Esok Ditangguhkan

ALOR SETAR – Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah yang sepatutnya dijadulkan berlangsung esok telah ditangguhkan.

 

Memetik kenyataan Bernama, perkara tersebut telah disahkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fisol Jaafar.

 

Beliau bagaimana pun tidak menyatakan sebab atau mengulas lanjut kenapa mesyuarat Exco itu terpaksa ditangguhkan.

 

“Ditangguh,” katanya ketika dihubungi wartawan Bernama menerusi Whatsapp malam ini.

 

Sementara itu satu-satunya wakil MCA yang dilantik sebagai Exco, YB  Leong Yong Kong enggan mengulas lanjut atau mengesahkan perkembangan terbaru itu.

 

“Tiada komen,” katanya ringkas ketika ditemui SuaraTV sebentar tadi.

 

Minggu lepas mesyuarat Exco kerajaan negeri hanya dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan tiga Exco iaitu Datuk Aminuddin Omar, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Datuk Suraya Yaacob.

 

Enam lagi Exco yang tidak hadir dalam mesyuarat itu dipercayai disebabkan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar.

 

Mesyuarat Exco kerajaan negeri memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya empat orang Exco bagi mencukupkan kuorum dan mengesahkan semua perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat.

 

Sejak lebih seminggu lepas Kedah dilanda krisis politik susulan tindakan pemimpin Umno Kedah diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang secara terbuka mengisytiharkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.