MB Kedah Bukan Mukhriz, Bukan Ahmad Bashah?

PETANG semalam, 20 daripada 21 Adun BN Kedah menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman. Tujuannya adalah untuk pihak istana mendapat maklum secara langsung, siapa Adun yang menyokong atau tidak menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir digugurkan.

 

Ini adalah salah satu proses untuk pihak istana mendapatkan maklum balas daripada Adun-Adun sebelum membuat keputusan sama ada menteri besar yang sedia ada, akan digugurkan dan juga untuk memberi perkenan terhadap calon yang dikira layak untuk menggantikannya.

 

Sepanjang petang hingga malam tadi, ramai yang tertanya-tanya apa kesudahan pertemuan itu, siapa yang telah dinamakan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu?

 

Sesungguhnya, jawapan tidak akan diperolehi dalam masa terdekat, setidak-tidaknya dalam tempoh hingga tengah malam tadi, atau mungkin juga hari ini. Ini kerana, apa yang dijalankan semalam hanya salah satu proses untuk mendapatkan kepastian mengenai pendirian Adun-Adun BN Kedah bagi menyelesaikan segera kemelut politik yang sedang membelenggu negeri itu.

 

Selepas maklum balas mereka diperolehi, dapatan itu sudah tentunya akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah untuk mendapatkan perkenan baginda, ataupun keputusan mengenainya dibuat sendiri tiga anggota Jemaah Pemangku Sultan iaitu Tunku Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Salehuddin Almarhum Sultan Badlishah; Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

 

Hanya selepas itu, barulah keputusan muktamad dimaklumkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN, atau ketua parti yang menguasai kerusi dalam Dun Kedah untuk keputusan itu diumumkan kepada rakyat.

 

Sehubungan itu, tanda tanya yang menyelubungi kita sejak 13 hari lalu, masih juga tidak kunjung padam.

 

Difahamkan, pertemuan Adun-Adun itu dengan anggota Jemaah Pemangku Sultan dilakukan secara seorang demi seorang, bukan berkumpulan. Ini bererti setiap Adun akan ditanya pendiriannya mengenai Mukhriz – mungkin juga calon pengganti beliau – secara bersendirian.

 

Dalam keadaan itu, apa sahaja boleh berlaku. Atau dalam kata lain, pendirian seseorang Adun yang berkenaan ada kemungkinan boleh berubah apabila diminta untuk bercakap secara jujur dan berterus terang dalam keadaan tertutup kerana boleh jadi sebelum itu beliau dipengaruhi kumpulan ketika membuat kenyataan secara terbuka. Ini kerana sudah jadi sikap orang kita untuk sanggup tidak berterus terang demi menjaga hati pihak lain. Apa lagi jika berkaitan dengan kepentingan, lebih-lebih lagi sebagai ahli politik!

 

Sehubungan itu, apa yang mungkin telah diputuskan, dan hanya menanti masa untuk diumumkan sebenarnya adalah tidak mudah untuk diramal.

 

Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika bercakap kepada pemberita tengah hari semalam berkata, beliau yakin akan ada perubahan di Kedah, ertinya Mukhriz akan tetap digugurkan. Sementara ketua panglima yang mendesak pengguguran Mukhriz, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah pula berkata, pihaknya yakin 19 Adun yang telah menandatangani akuan bersumpah menolak kepimpinan Mukhriz baru-baru ini, akan tetap dengan pendirian mereka.

 

Mengambil kira pendapat kedua-dua mereka, pengguguran Mukhriz boleh dikira hampir pasti akan jadi kenyataan.

 

Soalnya, apakah implikasi daripada apa yang berlaku terhadap institusi kepimpinan khususnya dalam Umno dan kerajaan jika Mukhriz benar-benar digugurkan dan diganti oleh Ahmad Bashah sendiri sebagaimana yang banyak dispekulasikan?

 

Harus diingat, Ahmad Bashah adalah Timbalan Pengerusi Umno negeri, dan beliau jugalah yang mengetuai sidang akhbar menolak kepimpinan Mukhriz tempoh hari.

 

Jika beliau yang dipilih, tidakkah ini akan jadi precedent (duluan) untuk kes-kes yang lain, yang mungkin akan berlaku lagi pada masa hadapan?

 

Nanti apabila ada seseorang atau mana-mana kumpulan yang tidak sehaluan dan berniat hendak menjatuhkan seseorang menteri besar atau pemimpin parti, mereka mungkin akan mengadakan sidang akhbar juga untuk mencapai hajat mereka selepas menyelongkar seribu satu kelemahan pemimpin yang jadi sasaran.

 

Urusan mencari kelemahan orang memanglah senang!

 

Apa yang penting bagi mereka hanyalah membawa asbab-asbab atau alasan yang boleh diterima oleh pucuk pimpinan parti untuk bersetuju dengan tindakan mereka itu.

 

Ini bukanlah sesuatu yang baik untuk dijadikan contoh oleh mana-mana parti politik, lebih-lebih lagi parti yang memerintah. Ia akan menjejaskan kelancaran urusan pentadbiran kerajaan sekali gus mengganggu tanggungjawab memastikan kesejahteraan rakyat.

 

Atas pertimbangan itulah barang kali Jemaah Pemangku Sultan Kedah tidak terus menerima cadangan daripada Perdana Menteri mengenai pelan penggantian Mukhriz dalam pertemuan di Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu, hingga akhirnya membawa kepada pertemuan dengan setiap Adun BN di Alor Setar, semalam.

 

Ahmad Bashah, tokoh yang disebut-sebut calon pilihan Perdana Menteri untuk diangkat ke jawatan itu, kini bukanlah calon yang terbaik.

 

Meskipun laluan untuk beliau ke Seri Mentaloon sebelum ini dilihat agak mudah, namun kebuntuan pertemuan PM – Jemaah Pemangku Sultan di Kuala Lumpur, mula menenggelamkan namanya dari persada.

 

Ini ditambah pula dengan dapatan kaji selidik yang dilakukan oleh Jabatan Penerangan Kedah sejurus selepas sidang akhbar beliau 20 Januari lalu yang mendapati lebih 90 peratus responden menolak tindakan Ahmad Bashah dan kumpulannya. Meskipun alasan-alasan yang dikemukakannya untuk menolak kepimpinan Mukhriz sebagai Pengerusi Umno negeri, juga selaku menteri besar boleh dikira berasas namun Ahmad Bashah bagi majoriti rakyat Kedah pada masa ini adalah punca masalah, pengacau dan pencetus konflik dalaman Umno dan kerajaan.

 

Bagaimana seseorang yang tidak dipersetujui oleh lebih 90 peratus daripada rakyat negerinya mahu diangkat sebagai menteri besar?

 

Inilah yang menyempitkan laluan pemimpin veteran Umno Kedah itu untuk mencapai kemuncak dalam karier politiknya sebelum bersara.

 

Jika itu masalah Ahmad Bashah, apa yang dihadapi oleh Mukhriz berlainan pula.

 

Dalam kedudukan beliau yang boleh dianggap sudah tidak mendapat sokongan daripada hampir kesemua pimpinan utama Umno bahagian-bahagian di seluruh negeri, bagaimana mungkin beliau akan mampu mentadbir parti terutama untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

 

Masalah lebih berat menanti Mukhriz jika beliau terus dikekalkan sebagai menteri besar. Mesyuarat exco kerajaan negeri yang hanya dihadiri tiga daripada sembilan anggota exco adalah rekod yang teramat buruk untuk mana-mana ketua kerajaan. Hal tidak mempunyai cukup kuorum untuk mesyuarat exco pada hari itu membuat apa-apa keputusan yang berkaitan dengan kepentingan rakyat adalah sesuatu yang sama sekali tidak boleh diperjudikan.

 

Bagaimana Mukhriz akan terus memimpin kerajaan – andai kata beliau dikekalkan – jika hal yang sama berulang dan mungkin terus berulang.

 

Justeru, walaupun Mukhriz mungkin mendapat sokongan dan simpati majoriti rakyat Kedah pada masa ini, namun isu kelancaran pentadbiran kerajaan yang seharusnya mendapat sokongan daripada majoriti Adun terutama anggota exco harus lebih diutamakan.

 

Justeru seseorang yang mahu diangkat sebagai menteri besar, haruslah juga mendapat sokongan daripada parti. Bagaimanapun dalam konteks ini, saya yakin sokongan daripada parti boleh datang kemudian jika calon yang dipilih untuk menggantikan Mukhriz adalah seseorang yang kehadirannya mampu meredakan ketegangan yang sedang membelenggu pada masa ini.

 

Beliau seharusnya seorang yang tidak mempunyai masalah dengan sesiapa dalam kepimpinan parti di peringkat negeri, ataupun boleh dianggap seorang calon yang masih ‘bersih’.

 

Apa yang lebih penting, kehadirannya boleh diterima oleh majoriti rakyat, dan tidak mempunyai fail-fail persepsi yang hanya menunggu masa untuk diselongkar sebaik sahaja dilantik.

 

Calon yang ditolak oleh rakyat boleh jadi faktor untuk membawa kekalahan kepada parti pada pilihan raya akan datang.

 

Siapakah orangnya? Saya tidak akan jawab soalan itu kerana yakin, Jemaah Pemangku Sultan Kedah sudah pun ada pilihan mereka yang paling tepat. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.