Video: Ultras Malaya Pertahan Penyokong JDT

Penyokong tegar bola sepak negara, Ultras Malaya, mempertahankan tindakan 12 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang pada awalnya dipercayai ditahan reman selama 5 hari kerana mempamerkan kain rentang (tifo) seorang pemimpin berwajah anjing sebagai kritikan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Sabtu.

 

Dalam posting di laman Facebook mereka, kumpulan itu menyatakan solidariti terhadap 12 individu tersebut, mengatakan tindakan pihak berkuasa terhadap mereka hanya kerana mengkritik FAM adalah tidak wajar.

 

 

Mereka berkata, sebaliknya pihak pengurusan bola sepak negara itu perlu mengkaji sedalam- dalamnya mengapa kritikan sering kali dilemparkan terhadap mereka.

 

“Sesiapapun kita, sudut pandang mana pun, kita melihat dari subjek yang sama selama ini, solidariti untuk 12 orang yang ditahan pada perlawanan pembukaan semalam dari kami. Teruskan perjuangan dan tetap lawan.

 

“Dalam menyatakan kritikan terhadap FAM, sepatutnya tidak ada siapa perlu ditahan cuma perlu seluk lebih dalam kenapa kritikan dilontarkan,” memetik daripada laman Facebook rasmi Ultras Malaya.

 

Kejadian tifo besar dengan gambar anjing direntangkan itu berlaku pada 31 Januari sewaktu perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2015, Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, Johor Baru antara JDT dan Pahang.

 

Ultras Malaya berkata, mereka tidak menilai dari segi kaedah dan tatacara kritikan tersebut disampaikan, kerana terpulang kepada orang ramai menentukan sendiri apakah maksud tersirat di sebalik tindakan membentang tifo itu.

 

Semalam berlaku kekeliruan apabila FAM dalam kenyataannya berkata 12 orang yang dipercayai terbabit dalam tindakan membentang tifo berwajah anjing bertujuan mengaibkan pemimpin FAM ditangkap dan ditahan reman selama 5 hari.

 

Bagaimanapun, polis Johor kemudiannya dilaporkan menafikan penahanan tersebut sementara Ketua Media dan Pemasaran Persatuan Bolasepak Johor FA Ahmad Yani Ismail dilaporkan berkata, terdapat salah faham yang timbul.

 

Ahmad Yani berkata, 12 penyokong tersebut tidak ditahan tetapi hanya disoal siasat dan dilepaskan setelah dirakam keterangan.

 

Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditanya sama ada akan mengambil tindakan terhadap 12 orang itu, memberitahu The Malaysian Insider, perkara itu belum diputuskan.

 

“Setakat ini kita masih belum sampai ke tahap itu. Namun kita akan bincang mengenainya pada Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan FAM Khamis ini,” katanya.

 

Ini bukan pertama kali FAM berdepan dengan kontroversi kerana sebelum ini ia hebat dikritik akibat daripada kelemahan pengurusan bola sepak negara.

 

Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah memegang jawatan presiden FAM selama 30 tahun sebelum diambil alih anaknya Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.