Video: FAM Bangsat Dan Banner Anjing, Penyokong JDT Biadap Dan Kurang Ajar

Kuala Lumpur – Perlawanan akhir Piala Sumbangsih antara pasukan Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang yang berlangsung malam tadi dicemari dengan tindakan segelintir penyokong pasukan Harimau Selatan itu yang menaikkan banner gergasi berwajah anjing yang memakai pakaian berlogo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

 

Walaupun banner itu tidak ditujukan kepada pasukan Pahang, namun tindakan tersebut cukup untuk digambarkan sebagai biadap dan sangat keterlaluan.

 

 

Malah, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkata baginda malu dengan perlakuan penyokong JDT itu.

 

“Sebagai anak kelahiran Johor yang bermastautin di Pahang…dan suami saya Presiden FAM, saya malu dgn tindakan peminat bola sepak Johor.

 

“Ini sahaja komen saya…. biadap dan kurang ajar, ayah saya tidak didik saya seperti ini,” kata baginda melalui laman Instagram peribadi @tengkupuanpahang hari ini.

 

Gambar banner tersebut turut menjadi viral di laman sosial dan menerima kritikan hebat daripada netizen yang menyifatkannya sebagai biadap.

 

Walau bagaimanapun tinjauan SuaraTV mendapati Tengku Puan Pahang telah memadamkan entri tersebut bagi mengelakkan berlakunya kontroversi yang berlebihan terhadap insiden tersebut.

 

fam anjing

 

Banner itu direntangkan di bahagian penyokong JDT sewaktu perlawanan yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu malam.

 

Ramai beranggapan banner itu cuba menggambarkan bahawa FAM hanya mengambil berat tentang wang berbanding menguruskan bola sepak tempatan.

 

Pada perlawanan itu JDT muncul juara Piala Sultan Haji Ahmad Shah 2015 selepas mengalahkan Pahang 2-0.

 

Seramai 12 individu telah dikenal pasti dan ditahan oleh pihak polis walaupun tiada siapa yang mendakwa bertanggungjawab terhadap banner kontroversi itu.

 

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, kesemua mereka telah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan polis.

 

“Apa yang berlaku di stadium semalam adalah sikap segelintir penyokong yang tiada sifat bertanggungjawab, tiada adab, kurang berdisiplin, tidak peka dan tidak sensitif.

 

“Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mengakui baginda kecewa dan menganggap isu kain rentang itu adalah satu perbuatan tidak wajar.

 

“Penyokong yang tidak berpuas hati sepatutnya perlu mendapatkan fakta yang jelas terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Hamidin berkata, PBNJ telah bertindak cepat dengan mengarahkan marshal yang dibantu polis bagi menangkap penyokong terbabit dalam masa sejam.

 

“FAM akan mengeluarkan surat pekeliling kepada semua persatuan bola sepak negeri dan kelab supaya memantau kain rentang penyokong masing-masing supaya tidak membawa sepanduk atau apa-apa yang boleh menimbulkan provokasi,” katanya.

 

Hamidin turut menegaskan FAM bukan persatuan yang dikendalikan oleh seorang individu sahaja tetapi meliputi semua kelab dan persatuan negeri gabungan.

 

“Ini bermakna semua ahli gabungan di bawah FAM bertanggungjawab dalam hal ini dan semua penyokong di bawah naungan tersebut adalah tidak terkecuali,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.