Video: TMJ Faham Kenapa Penyokong Protes Tapi…

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu, beliau memahami protes yang dibuat para penyokong bola sepak terhadap pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), minggu lalu.

 

Walau bagaimanapun ujar Tunku Ismail, beliau sama sekali tidak menyokong sebarang salah laku dalam kalangan peminat bola sepak dan juga tidak bersetuju dengan cara protes yang dibuat tersebut.

 

“Saya tidak menyokong budaya ‘hooligan’ dan tidak setuju dengan tindakan protes sebegini yang ditujukan kepada FAM. Saya tidak menyokong sebarang salah laku yang dilakukan oleh para penyokong bola sepak di mana jua di seluruh negara.

 

“Namun ianya tidak bermakna saya tidak memahami protes para penyokong bola sepak Malaysia yang tidak berpuas hati dengan cara FAM mentadbir sukan bola sepak di negara ini,” katanya melalui satu kenyataan yang dipetik dari laman Facebook Johor Southern Tigers, semalam.

 

Mengulas lanjut, Tunku Ismail menegaskan tidak menyalahkan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam kesilapan yang dilakukan badan induk pentadbir bola sepak tersebut.

 

“Saya tidak menyalahkan Presiden. Saya menyalahkan organisasi. Saya menyalahkan ahli-ahli jawatankuasa dan ahli-ahli gabungan yang tidak bersatu dan bersuara menegur kesilapan yang dilakukan oleh badan induk pentadbir bola sepak itu.

 

“Saya berdoa supaya suatu hari nanti, badan pentadbir bola sepak negara akan mengabulkan hajat para penyokong. Bola sepak adalah milik rakyat. FAM juga milik rakyat. Nasihat saya kepada mereka yang tidak memahami bola sepak dan mereka yang hanya bersuara demi modal politik peribadi, cukup-cukuplah dan hentikanlah. Anda hanya membuatkan diri anda kelihatan kurang bijak,” katanya.

 

Sabtu lalu, seramai 12 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) ditahan kerana mempamerkan kain rentang (tifo) seorang pemimpin berwajah anjing dipercayai bertujuan mengaibkan pemimpin FAM pada perlawanan Piala Sumbangsih 2015 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.