Thaipusan: 1.5 Juta Orang Dijangka Guna Lebuhraya Utara-Selatan Hari Ini Dan Esok

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara menghala ke ibu kota dijangka mengalami kesesakan sempena sambutan Thaipusam esok.

 

Timbalan Pengurus Kanan Jabatan Komunikasi Korporat PLUS Malaysia Berhad Iskandar Zulkifli berkata, kira-kira 1.5 juta pengguna dijangka menggunakan laluan itu hari ini dan esok.

 

“Pengguna jalan raya boleh merancang jadual perjalanan dan mendapatkan maklumat terkini melalui talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

 

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata keadaan trafik di lebuh raya bertol di sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai-Timur masih lancar dan terkawal hari ini.

 

Ketua Polis Gombak ACP Ali Ahmad pula berkata antara laluan yang ditutup sempena Thaipusam esok ialah Jalan Perusahaan, Bulatan Batu Caves dari arah Selayang dan Jalan Lingkaran Tengah Dua susur masuk ke Batu Caves.

 

Beliau berkata keadaan trafik di kawasan berkenaan masih terkawal setakat ini. -BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.