Tergamak Serang Ibu Dengan Pisau

KUALA TERENGGANU – Akibat ketagih dadah, seorang pemuda sanggup menyerang ibu dan abang iparnya dengan pisau di rumah mereka di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit, dekat sini, kerana enggan memberinya wang untuk membeli dadah, kelmarin.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, ibunya yang berusia 50-an itu diselamatkan oleh menantu lelakinya.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, menantu mangsa yang berada di rumah nampak dua beranak itu sedang bertengkar selepas pemuda berusia 23 tahun itu meminta wang daripada ibunya.

 

“Pada awalnya, menantunya tidak ambil peduli kerana situasi sebegitu memang sering berlaku sebelum ini terutamanya apabila mangsa enggan menyerahkan wang seperti yang diminta.

 

“Tetapi, menantunya terpaksa masuk campur setelah melihat suspek seperti dirasuk dan mengamuk dengan memegang sebilah pisau sambil mengacukannya ke arah mangsa,” katanya.

 

Wan Abd Aziz berkata, campur tangan menantunya itu membuat pemuda itu makin naik angin dan bergaduh dengan abang iparnya itu.

 

“Dalam pergelutan itu, pemuda tersebut cedera ringan terkena pisau itu. Dia dibawa ke klinik kesihatan,” katanya.

 

Walaupun abang iparnya itu tidak cedera, dia mengambil keputusan membuat laporan polis sebagai langkah keselamatan.

Pemuda itu ditahan pada hari yang sama. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.