Sukar Puas Semua Pihak

Shah Alam: Rombakan dilakukan pucuk pimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) minggu lalu belum mampu mententeramkan segelintir penyokong Merah Kuning.

 

Pada majlis pengenalan skuad itu semalam, terdapat beberapa kain rentang digantung segelintir penyokong selain laungan tidak puas hati terhadap individu tertentu dalam badan induk bola sepak Selangor itu.

 

Antara kain rentang yang tertera adalah “CUKUPLAH KAMI DITIPU FAS, PEMAIN JANGAN KHIANATI KAMI PULA” dan “ROMBAK FAS”.

 

Pengurus Selangor Amirudin Shari ketika ditanya mengenai situasi itu berkata, memang sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

 

“Kami tidak boleh puaskan hati semua orang, namun saya boleh sebutkan, kami akan cuba yang terbaik. Kalau anda lihat 80 atau 90 peratus penyokong yang hadir memberikan sokongan penuh kepada pasukan. Kami masih mempunyai pasukan yang boleh diharapkan dan penyokong hebat.

 

“Sudah berulang kali kami sebutkan (keinginan meraih kejuaraan). Kami akan buktikan. Saya tidak mahu mengulanginya, namun saya akan buktikan dengan hasil dilaksanakan musim ini. Ini masa untuk bertindak dan kami akan bertindak untuk kejayaan pasukan,” katanya yang juga Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor.

 

FAS pada minggu lalu ‘merehatkan’ Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad, individu yang menjadi bahan kecaman segelintir peminat Selangor, dengan tidak tersenarai untuk mengetuai mana-mana jawatankuasa kecil persatuan itu.

 

Amirudin turut mengulangi matlamatnya jelas iaitu memenangi kejuaraan musim ini (Piala FA atau Malaysia) dan mengekalkan prestasi di Liga Super seperti musim sebelum ini.

 

“Dua musim lalu kami tidak boleh dikatakan gagal apabila bergelar naib juara (Liga Super) dengan muncul antara empat pasukan terbaik. Paling tidak kami sasarkan satu piala kali ini selepas beberapa musim tanpa kejuaraan,” katanya.

 

Malah perbincangan akan sentiasa dilakukan bersama ketua jurulatih Mehmet Durakovic berhubung kedudukan pemain import menjelang jendela perpindahan pemain kali kedua nanti.

 

“Jika pemain import cemerlang tiada sebab membuka pintu keluar kepada mereka,” katanya.- HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.