Video: Polis Jumpa Mayat Farouk Dalam Plastik Hitam

Kepala Batas – Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing, yang dibungkus dengan plastik hitam, ditemui dalam semak berhampiran ladang kelapa sawit di Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini, hari ini.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, mayat lelaki bersama sekeping nota itu ditemui pada 3.30 petang oleh orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebelum memaklumkan mengenainya kepada polis.

 

 

“Lelaki itu menemui bungkusan plastik hitam seperti mayat dikafan selepas terhidu bauan wangi di kawasan semak itu…dipercayai air mawar yang disiram ke atas mayat itu.

 

“Bersama mayat itu terdapat sekeping kertas yang diletakkan atas dadanya yang ditulis nota dalam Bahasa Melayu iaitu ‘Assalamualaikum, Nama saya Farouk, saya Muslim, saya mahu sembahyang dulu’,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

 

Namun, polis tidak menemui dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.

 

Abdul Rahman berkata, tiada sebarang kecederaan atau kesan lebam ditemui pada mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

 

“Polis sedang menyiasat punca sebenar kematian mangsa. Mayatnya dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat,” katanya.

 

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.