Pilihan Raya PBT: DAP Cuba Kuasai Kekayaan Negara – ISMA

SHAH ALAM – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa DAP cuba menguasai kekayaan negara dengan memiliki kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT).

 

Timbalan Presidennya, Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan berkata, perkara itu semakin nyata apabila DAP dilihat sangat beriya-iya mengadakan pilihan raya PBT tanpa mendapat persetujuan daripada sekutunya, PKR dan Pas.

 

“Ia bukan sesuatu yang sukar untuk difahami bagaimana jika pilihan raya tempatan diadakan, DAP dengan mudah akan menguasai bandar-bandar tersebut.

 

“Berdasarkan taburan penduduk di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bharu, Pulau Pinang dan Seberang Perai, jelas menunjukkan majoriti bangsa yang tinggal di bandar besar itu adalah bukan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan di laman web NGO itu, hari ini.

 

Pada 14 Ogos tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menerusi panel dianggotai lima hakim yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara memutuskan kerajaan negeri Pulau Pinang tidak boleh secara sebelah pihak mengecualikan pemakaian Seksyen 15, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada seluruh negeri itu.

 

Keputusan itu menyebut Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai 2012) yang diluluskan Dun Pulau Pinang pada 2012 bertentangan dengan Perlembagaan.

 

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, keadaan semakin parah apabila 80 peratus pengundi bukan Bumiputera didakwa mengundi DAP sekali gus membantu parti itu menguasai bandar-bandar tersebut.

 

“Jika diambil kira peratus undi yang mana 20 peratus (anggaran) daripada pengundi Bumiputera mengundi DAP maka bermakna DAP akan menguasai bandar-bandar tersebut mungkin buat selama-lamanya jika Melayu terus berpecah.

 

“Semua maklum bahawa segala kekayaan negara berada di bandar-bandar utama ini. Jika DAP menguasai segala perbendaharaan majlis ini bermakna mereka akan menguasai keseluruhan negara walaupun dari segi politiknya Putrajaya masih dikuasai oleh BN.

 

“Di manakah orang Melayu nanti? Saudara lihatlah apa yang berlaku di Pulau Pinang dan Singapura dan jawablah sendiri,” katanya lagi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.