Penunjuk Perasaan Pro-Demokrasi Kembali Protes

Hong Kong – Ribuan penunjuk perasaan prodemokrasi kembali membanjiri jalan raya di Hong Kong buat pertama kalinya, pada Ahad, sejak demonstrasi besar-besaran yang melumpuhkan sebahagian kawasan di pusat bandar Hong Kong selama lebih dua bulan, tamat pada Disember lalu.

 

Lautan penunjuk perasaan yang berpayung kuning, simbol kempen prodemokrasi, berarak secara perlahan-lahan melalui pusat bandar Hong Kong, sambil melaungkan slogan.

 

Namun begitu, menurut penganjur, hanya 13,000 orang menyertai protes itu, jumlah yang jauh lebih rendah daripada jangkaan asal mereka, iaitu 50,000 orang.

 

“Protes hari ini bukanlah kecil-kecilan. Namun, jumlahnya lebih rendah daripada jangkaan kami dan ia satu kesilapan untuk mengatakan rakyat Hong Kong tunduk kepada demokrasi palsu,” kata penganjur, Daisy Chan.

 

Menurut polis, sehingga 8,800 orang menyertai tunjuk perasaan itu dan pihak berkuasa tidak akan berkompromi dengan tuntutan aktivis.

 

Sehingga petang tadi, tiada sebarang insiden atau keganasan berlaku.

 

“Kami tidak bercadang menguasai (pusat bandar). Jika yang lain mahu melakukannya, mereka terpaksa lakukan sendiri,” demikian kata pemimpin pelajar, Alex Chow kepada AFP.

 

Meskipun jumlah kehadiran mengecewakan, penunjuk perasaan yang hadir tetap tekad dengan perjuangan mereka.

 

“Kami hanya mahu menyuarakan kekecewaan kami terhadap kerajaan Hong Kong. Kami tahu tidak banyak yang boleh kami lakukan, namun jika tidak bersuara, tiada perubahan akan berlaku,” kata penunjuk perasaan, Ronnie Chan yang bekerja di bidang jualan dan pemasaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.