Nenek Sembunyi Dadah Dalam Coli Ditahan

GUA MUSANG 1 Feb. – Biarpun sudah beberapa kali ditahan kerana terlibat dengan dadah namun seorang nenek dan suaminya yang berusia lebih setengah abad masih tidak serik.

 

Terbaharu, pasangan yang ber­asal dari Rantau Panjang itu ditahan di Kampung Bertam dekat sini kerana cuba mengedar dadah di kawasan tersebut kira-kira pukul 2 petang Jumaat lalu.

 

Malah, polis turut menjumpai 587 biji pil berwarna merah serta enam biji pil hijau yang dipercayai pil kuda serta tiga botol serbuk pu­tih yang dikatakan heroin disorok da­lam coli yang dipakai wanita yang berusia 58 tahun itu.

 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Saiful Bahri Abdullah berkata, wanita dan suaminya yang berusia 66 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

 

“Pasangan ini dikatakan mendapatkan bekalan dadah itu daripada seorang lelaki yang ditemui di Gual Tinggi, Rantau Panjang dan mereka dikatakan mahu memasarkan dadah tersebut di daerah ini.

 

“Hasil siasatan kita juga mendapati mereka berdua pernah dita­han beberapa kali di daerah lain disebabkan kesalahan yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini hari ini.

 

Sementara itu, Saiful Bahri berkata, pihaknya menahan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes penyalahgunaan dadah di daerah ini dalam tiga serbuan berasingan baru-baru ini.

 

Katanya, dalam kes pertama, dua lelaki yang berusia 23 dan 28 tahun ditahan kerana memiliki empat botol dadah jenis heroin dalam kereta yang dinaiki mereka di Felda Chiku dekat sini pada 22 Januari lalu.

 

“Mereka ditahan ketika menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sunny di kawasan tersebut kira-kira pukul 1.45 petang selepas anggota kita melihat keadaan mereka yang agak mencurigakan.

 

“Dalam kes kedua, kita menahan seorang lelaki berusia 35 tahun dari Pasir Mas pada keesokan harinya (23 Januari) di hadapan Klinik Chiku 3 dan pemeriksaan lanjut pihak polis telah menjumpai enam botol dadah jenis heroin yang disorok di dalam tempat letak tisu dalam kereta tersebut,” katanya.

 

Katanya, dalam kes ketiga, seorang lelaki berusia 42 tahun dari Felda Chiku 2 ditahan berhampiran kawasan rumahnya kira-kira pukul 5.10 petang pada 27 Januari lalu.

 

Tambahnya, pihak polis menemukan 13 botol serbuk putih dipercayai heroin dalam sebuah beg dan 15 biji pil kuda dalam sebuah tin berhampiran suspek. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.