Neelofa Enggan Ulangi Kesilapan

TAHUN lalu, nama pelakon dan pengacara jelita, Neelofa telah menjadi perhatian masyarakat apabila penampilannya ketika mengacarakan malam Anugerah Meletop Era (AME)  dikritik hebat oleh masyarakat.

 

Selain daripada fesyen yang digayakan agak keterlaluan, penampilannya pada malam itu juga dikatakan sebagai mangsa fesyen apabila ada pihak yang menyamakan pakaiannya itu dengan karakter Power Rangers.

 

Enggan lagi mengulangi kesilapan yang sama, pemilik nama, Nor Neelofa Mohd Noor yang masih menggalas tanggungjawab sebagai penyampai pada malam AME 2015 ini, mengakui persiapan secara teliti telah dijalankan bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

 

“Apa yang berlaku tahun lalu, saya jadikan sebagai pengajaran dan kalau boleh tahun ini saya mahu lakukan yang lebih baik.

 

“Tahun lalu, saya sangat kesuntukan masa kerana baharu pulang dari Los Angeles dan hanya memiliki masa beberapa hari untuk membuat persiapan.

 

“Tapi kali ini dengan masa yang banyak, saya cuba menyediakan segala persiapan dengan lebih teliti supaya tidak berulang lagi perkara yang sama.

 

“Tambahan pula dengan kerjasama pihak Astro sendiri, saya harap semuanya akan berjalan dengan baik,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media AME 2015, di DoubleTree By Hilton, baru-baru ini.

 

Pada masa sama, wanita kacukan Melayu-Arab ini, mendedahkan sempena malam AME 2015, dia bakal menggayakan busana yang lebih bersesuaian dengan penampilan bertudungnya.

 

“Pada malam itu, saya akan menggayakan satu sahaja busana rekaan Fiziwoo dan apa yang pasti kali ini, ia lebih bersesuaian dengan imej saya.

 

“Saya harap tidak akan timbul lagi kontroversi mengenai penampilan saya,” katanya.

 

Kembali berlakon    

 

Selepas dua tahun sibuk menjalani karier sebagai pengacara, wanita berusia 26 tahun ini memberitahu bakal tampil terlibat dengan beberapa projek lakonan.

 

“Insya-ALLAH, kalau ikut perancangan, tahun ini saya akan mula terlibat dalam lakonan menerusi lima telefilem.

 

“Tapi buat masa ini semuanya masih dalam perancangan dan saya belum menerima skripnya.

 

“Selepas dua tahun tidak berlakon, saya rasa inilah masa yang sesuai saya kembali memandangkan sekarang masa yang saya ada tidak terikat dengan mana-mana kerja lain selain daripada pengacaraan program MeleTOP,” katanya.

 

Selain bergelar pelakon dan pengacara, Neelofa mengakui gembira dengan bidang perniagaannya di bawah labelnya sendiri yang kini semakin berkembang.

 

“Awal Januari lalu, saya telah buka butik sendiri untuk memasarkan produk-produk saya iaitu Naelofar Abaya (jubah), Lofalens (kanta lekap) dan Naelofar Hijab (tudung).

 

“Memang seronok menjalankan perniagaan ini lebih-lebih lagi saya menjalankannya bersama keluarga sendiri.

 

“Tapi saya juga perlu ingat, apa yang membawa saya sehingga ke tahap ini adalah disebabkan oleh bidang lakonan juga. Jadi saya perlu seimbangkan keduanya,” ujarnya yang belum membuat sebarang perancangan untuk mempelbagaikan produk di bawah jenamanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.