Masa Untuk Ulama Pas Bertindak

JIKA hubungan antara Pas dan DAP diibaratkan sebuah perkahwinan, mereka kini boleh dianggap berada di ambang perceraian. Masing-masing me­nyerang antara satu sama lain. Segala apa yang terpendam selama ini sudah diluahkan.

 

Dari segi logiknya, kedua-dua parti itu sudah jelas tidak mampu be­kerjasama lagi. Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pemimpin kedua-dua parti tersebut memberi isyarat bahawa ‘perkahwinan’ yang berlandaskan kepada nafsu untuk menawan Putrajaya semakin hampir kepada penghujungnya.

 

Bagaimanapun berbanding DAP, Pas berada kedudukan lebih kritikal. Ketika pemimpin-pemimpin DAP bersatu mempertahankan hujah antara satu sama lain dalam menyerang Pas, pemimpin-pemimpin Pas pula membuat kenyataan yang bercelaru sekali gus menampakkan ketidaksepakatan antara mereka.

 

Apa yang kerap kita saksikan dalam Pas pemimpin seperti Pemangku Ketua Dewan Ulama, Datuk Ahmad Yakob, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali seolah-olah kelompok kecil yang mempertahankan pendirian Pas dan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Majoriti pemimpin yang bukan daripada golongan ulama lebih cenderung mendiamkan diri atau membuat kenyataan yang dilihat menyebelahi DAP. Ini sekali gus mewujudkan tafsiran bahawa khabar ada usaha untuk menyingkirkan Abdul Hadi sebagai Presiden bukanlah omong kosong.

 

Pas kini bagaikan sebuah parti yang bercelaru, tiada pendirian dan berada di ambang perpecahan jika tiada usaha dilakukan bersungguh-sungguh untuk mempertahankan parti itu dan kepimpinannya.

 

Oleh itu mahu tidak mahu, golongan ulama dalam Pas tidak boleh lagi berdiam diri atau sekadar membuat kenyataan balas sahaja. Satu gerakan bersepadu perlu dilakukan untuk menyedarkan ahli dan penyokong parti tersebut untuk memahami bahaya yang menanti akibat keceluparan DAP dan sikap sesetengah pemimpin Pas.

 

Sebagai golongan berpengaruh di dalam Pas, golongan ulama tidak harus menganggap tindakan-tindakan DAP yang terus memperkecilkan kewibawaan Pas sebagai masalah remeh. Apatah lagi tindakan DAP itu sering sahaja disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 

“Tahun ini adalah tahun pemilihan, jika golongan ulama tidak melakukan sesuatu untuk memperkukuhkan kedudukan mereka dalam Pas, boleh mengundang bencana politik kepada parti itu.

 

“Jangan menganggap ura-ura untuk menyingkirkan pemimpin tertentu sekadar khabar angin, ahli-ahli di peringkat akar umbi amat memahami apa yang berlaku,’’ kata satu sumber yang rapat dengan seorang pemimpin kanan Pas kepada penulis ketika dihubungi.

 

Dalam berhadapan situasi ini, golongan ulama tidak boleh lagi bersikap terlalu baik dengan terus mempertahankan kehadiran golo­ngan profesional sebagai satu langkah memperkasakan parti.

 

Hujah kononnya Pas kuat mela­lui gabungan antara golongan ulama dan profesional kini seolah-olah sudah bertukar menjadi ancaman kepada kesepakatan dalam parti itu.

 

“Sepatutnya dalam apa juga situasi semua pemimpin perlu berada di belakang pucuk pimpinan, jangan buat kenyataan yang bercanggah atau dilihat bertentangan, tetapi sekarang apa yang kita lihat, pucuk pimpinan bercakap ‘A’, ada pemimpin bercakap ‘B’.

 

“Walau apapun maksud kenya­taan yang dibuat jelas menampakkan berlaku perpecahan dalam Pas dan menyebabkan pemimpin parti lain khususnya DAP dan PKR tidak hormat kepada Pas,’’ kata sumber itu lagi.

 

Hakikatnya, Pas bukanlah ke­tandusan pemimpin bertaraf ulama profesional, masih ramai yang mempunyai pendidikan agama dan bijak dalam kepimpinan.

 

Pemimpin-pemimpin seperti inilah yang seharusnya diketengahkan dan bukannya hanya bergantung kepada seorang dua pemimpin da­ripada golongan profesional yang merasakan mereka lebih bijak daripada golongan ulama termasuk Abdul Hadi dalam menguruskan parti dan berpolitik.

 

Oleh itu golongan ulama perlu bertindak untuk menyelamatkan maruah Pas daripada terus diperkotak-katikkan dan mengembalikan rasa hormat sekutunya kepada parti tersebut dengan memastikan mereka menunjukkan kekuatan dan ketegasan sebenar.

 

Golongan ulama perlu kembali dominan dalam kepimpinan utama Pas dan bukannya berlegar-legar sekitar Dewan Ulama dan Majlis Syura sahaja. Walaupun jika mengikut Perlembagaan Pas, Majlis Syura memainkan peranan penting dalam menentu hala tuju Pas, persoalannya apakah selama ini suara majlis tersebut didengari mahupun dipatuhi.

 

Semua itu berlaku kerana ada kelompok dalam Pas yang berpandangan golongan ulama tidak pandai berpolitik. Mereka terlupa atau sengaja melupakan bahawa kekuatan Pas selama ini dalam beberapa pilihan raya termasuk menguasai Kelantan sejak 1990 adalah hasil perjuangan golongan ulama.

 

Janganlah kerana merasakan golongan bukan ulama sudah kuat dan menduduki beberapa jawatan penting dalam Pas, golongan ulama mahu ditinggalkan atau dipinggirkan bagaikan ‘habis madu sepah dibuang.’

 

Bagaimanapun dalam situasi sekarang, tiada siapa pun boleh membantu golongan ulama kecuali mereka sendiri bangkit memperbetulkan kembali keadaan di dalam Pas.

 

Jika golongan ulama terus sekadar bergantung kepada tindakan berbalas kenyataan sahaja de­ngan pemimpin DAP dan PKR serta kekuatan dalam parti sendiri semakin luntur, percayalah dalam pemilihan akan datang golongan ulama pasti sekadar ‘penghuni’ Dewan Ulama dan ‘penghias organisasi’ di Majlis Syura sahaja. – Utusan

One thought on “Masa Untuk Ulama Pas Bertindak

  • February 24, 2015 at 6:43 pm
    Permalink

    Golongan liberal dalam PAS ibarat jurucakap DAP dan PKR. Walaupun hingga menikam belakang presiden PAS.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.