Kerajaan Pastikan Pembangunan Holistik Di Wilayah Persekutuan – Tengku Adnan

Kuala Lumpur – Kerajaan akan memastikan program pembangunan Wilayah Persekutuan dilaksanakan secara menyeluruh untuk kesejahteraan warganya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor.

 

Beliau berkata selain pembangunan fizikal dan projek menaik taraf infrastruktur untuk keselesaan rakyat, kementerian itu juga memfokus kepada pembangunan rohani warga kota.

 

Katanya pelbagai usaha dilaksanakan seperti penubuhan Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram bagi menangani masalah seperti aktiviti haram, kebersihan, lalu lintas, perumahan awam dan program keceriaan.

 

“Pasukan Petugas ini menggembleng tenaga kerja daripada pelbagai agensi kerajaan, wakil masyarakat dan NGO.

 

“Selain itu pendekatan melalui pendidikan, kesedaran moral dan penghayatan berteraskan agama khususnya untuk generasi muda dilaksana termasuklah penguatkuasaan dipertingkat di semua peringkat,” katanya.

 

Beliau berucap pada majlis istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2015 di Istana Negara di sini, hari ini.

 

Tengku Adnan berkata Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan memastikan semua projek pembangunan khususnya yang berkepentingan rakyat akan berjalan lancar.

 

Ini termasuk NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley membabitkan River of Life, Pedestrian Walkway, Heritage Trails, Greener Kuala Lumpur, MyRapid Transit, Sewerage Non-River, Greener KL, dan Solid Waste Management.

 

“Ia adalah satu daripada pemacu pertumbuhan ekonomi dalam mendukung kemajuan negara akan datang,” katanya.

 

Beliau berkata berikutan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, kementerian itu juga akan mengambil langkah berjimat, termasuk berbelanja secara berhemah, selain semua acara dan program akan diadakan secara sederhana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.