JPNIN Kedah Hantar Bantuan Bernilai RM80,000 Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan

KULIM – Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama 416 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kedah hari ini menghantar bantuan bernilai RM80,000 bagi membantu mangsa banjir di Kelantan.

 

Ketua misi bantuan berkenaan, Ahmad Shaker Mohd. Ali berkata, bantuan berupa wang tunai RM40,000 dan barangan seperti kain pelekat, kain batik, selimut dan dapur gas serta barangan keperluan harian dihantar awal pagi tadi menggunakan sebuah lori.

 

“Selain itu, sembilan kakitangan JPNIN turut ditugaskan menghantar sumbangan itu,” katanya selepas pelepasan misi bantuan itu oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kulim/Bandar Baharu, Suria Baharom di Pejabat Perpaduan Daerah di sini.

 

“Barangan ini akan dibawa ke pusat pengumpulan yang diuruskan JPNIN Kelantan di Tumpat sebelum diagihkan kepada yang memerlukannya,” katanya kepada Bernama.

 

Ahmad Shaker berkata, ini merupakan sumbangan kedua JPNIN kepada mangsa banjir selepas menghantar barangan keperluan wanita berjumlah RM30,000 pada 8 Januari lepas. – Bernama / Kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.