Jangan Fokus Aspek Fizikal Sahaja Dalam Pendidikan Seks

Pendidikan seks harus menekankan aspek agama dan rohani bukan hanya menumpukan pada aspek fizikal semata-mata, kata Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN).

 

“Pandangan saya, perspektif agama dan rohani perlu di tekankan kerana sekarang ini hanya diberi penekanan dari aspek fizikal sahaja.

 

“Ini soal tanggungjawab di kalangan lelaki.

 

“Dan bagi saya puncanya daripada kalangan lelaki, untuk (melahirkan) masalah sosial yang memberi impak kepada sesuatu yang tidak diingini,” kata Presiden PIBGN Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan.

 

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengumumkan akan melaksanakan modul pendidikan seks kepada remaja lelaki 16 tahun ke atas mulai tahun depan.

 

Ketika dihubungi Mohamad berkata, pendidikan seks secara formal wajar dilaksanakan kerana remaja lelaki mudah mendapatkan maklumat mengenai seks melalui Internet.

 

“Sekiranya tidak diberi pendidikan yang formal, remaja lelaki akan mudah mendapatnya daripada Internet tanpa tapisan pihak tertentu.

 

“Jadi daripada mereka tidak terlatih dan terdidik lebih baik kita beri pendidikan ini dari perspektif dan aspek lebih teratur,” katanya.

 

Katanya lagi, selain untuk menyelamatkan golongan wanita daripada ancaman, pendidikan seks harus diberi keutamaan dalam arus kemodenan yang semakin mencabar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.